Membaca Al-Fatihah
Membaca surah Al-Fatihah di dalam solat (baik solat fardhu atau sunat)
dipandang suatu fardhu dari
fardhu-fardhu solat yakni suatu rukun solat dan hendaklah ianya dibaca pada
tiap-tiap rakaat solat. Demikian pegangan jumhur ulama. Kita lihat dalil-dalil
berkaitan bab ini.
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ
الصَّامِتِ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ
بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Daripada Ubadah
bin Shamit ia berkata: Bahawa telah bersabda Nabi saw: Tidak ada solat bagi
mereka yang tidak membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di dalamnya
Riwayat Al-Jamaah
عَنْ عُبَادَةَ بْنِ
الصَّامِتِ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ تُجْزَى صَلاَةٌ لِمَنْ لَمْ
يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Daripada Ubadah
bin Shamit ia berkata: Bahawa telah bersabda Nabi saw: Tidak diberi ganjaran (sah)
solat bagi orang yang tidak membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di
dalamnya
Riwayat
Ad-Daruquthni. Sanad hadits ini shahih.
عَنْ عَائِشَةَ
قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ: مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ
فِيْهَا بِاُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ
Daripada Aisyah ia
berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang bersolat
sedang dia tidak membaca di dalamnya (solat) dengan Ummul Kitab (Al-Fatihah)
maka solatnya khidaj[1]
Riwayat Ahmad dan
Ibnu Majah[2].
Demikian antara
keterangan-keterangan tentang wajibnya Al-Fatihah itu dibaca dalam solat.
Adapun dalil bahawa Al-Fatihah itu wajib dibaca pada tiap-tiap rakaat maka
ianya juga beralasankan kepada hadits-hadits yang telah dibawakan di atas di
mana telah bersabda Rasulullah saw: Tidak ada solat bagi mereka yang tidak
membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di dalamnya. – Bahawa perkataan
solat itu mencakup keseluruhan rakaatnya dan jika kita kembali kepada hadits musi'i
solat (orang yang rosak solat):
ثُمَّ
افْعَلْ ذَلِكَ فِيْ صَلاَتِكَ كُلِّهَا
Kemudian lakukanlah
sedemikian pada solatmu setiapnya (pada rakaat berikutnya)
Riwayat Al-Bukhari dan
Muslim.
Rasulullah saw
memerintahkan kepadanya perkara-perkara yang oleh ulama dipandang sebagai rukun
dalam solat yang perlu dititikberat perlaksanaannya dalam solat, maka dari
keterangan-keterangan hadits, Al-Fatihah itu dipandang sebagai satu kefardhuan
maka wajiblah ia dibaca pada tiap-tiap rakaat. Demikian hujjah yang dibawakan
oleh jumhur ulama.
Sesungguhnya
Al-Fatihah itu dipandang suatu rukun dalam solat di mana jika seseorang itu
bersolat tanpa membaca Al-Fatihah maka tidak dinamakan dia telah bersolat.
Demikian juga sekiranya seseorang itu bersolat dan dia membaca Al-Fatihah akan
tetapi Al-Fatihahnya rosak (dibaca sehingga mengubah maknanya) maka solatnya
itu batal kerana dia belum membaca Al-Fatihah. Adalah amat penting seorang
muslim itu belajar dan membaca Al-Fatihah itu dengan betul sebutan bacaannya
agar maksudnya tidak berubah.
عَنْ عَبْدِ
الرَّحْمَنِ أَبِى الْعَلاَءِ قَالَ: قَالَ اَبُوْ هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُوْلُ
الله ص: مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيْهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهِيَ
خِدَاجٌ يَقُوْلُهَا ثَلاَثًا. فَقِيْلَ لأَبِيْ هُرَيْرَةَ اِنَّا نَكُوْنَ
وَرَاءَ الاِمَامَ؟ فَقَالَ: اِقْرَأْ بِهَا فِيْ نَفْسِكَ فَاِنِّيْ سَمِعْتُ
رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ: قَالَ الله عَزَّ وَجَلَّ: قَسَّمْتُ الصَّلاَةَ
بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ. فَاِذَا قَالَ
الْعَبْدُ اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ قَالَ اللهُ حَمِدَنِيْ عَبْدِيْ
فَاِذَا قَالَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ قَالَ اللهُ اَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِيْ
فَاِذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ قَالَ مَجَّدَنِيْ عَبْدِيْ وَقَالَ
مَرَّةً فَوَّضَ اِلَيَّ عَبْدِيْ وَاِذَا قَالَ اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ
نَسْتَعِيْنُ قَالَ هَذَا بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ
فَاِذَا قَالَ اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ. صِرَاطَ الَّذِيْنَ
اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ قَالَ
هَذَا لِعَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ
Daripada Abdur
Rahman Abil 'Ala
ia berkata: Abu Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Barangsiapa
mengerjakan solat yang tidak dibacakan Al-Fatihah di dalamnya maka solatnya itu
putus. Nabi saw mengatakan demikian tiga kali. Ditanya kepada Abu Hurairah:
Bagaimana kalau kami solat di belakang imam? Abu Hurairah menjawab: Bacalah
dalam dirimu kerana aku mendengar Rasulullah saw bersabda (bahawa) Allah
berfirman: Aku telah membahagi solat (Al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu dua
bahagian dan untuk hambaKu apa yang mereka pohonkan. Apabila hambaKu ucapkan
Alhamdulillah robbil 'alamiin (Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam),
Allah berfirman: HambaKu telah memujiKu. Apabila ia mengucapkan Ar-Rahmaanir
Rahiim (Yang Maha Pemurah Maha Penyayang), Allah berfirman: HambaKu
menyanjungKu. Apabila ia mengucapkan Maaliki yaumiddin (Yang Memiliki hari
pembalasan), Allah berfirman: HambaKu memuliakanKu. Apabila ia ucapkan Iyyaka
na'budu wa iyyaka nastai'in (Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya padaMu aku
pohon pertolongan), Allah berfirman: Inilah yang terletak antaraKu dan hambaKu
dan bagi hambaKu apa yang ia pinta. Apabila ia ucapkan Ihdinash shiraathal
mustaqiim, Shiraathal ladziina an'amta 'alaihim ghoiril maghdhuubi 'alaihim
waladh dhaalliin (Tunjukkan kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang
Engkau beri nikmat kepada mereka bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan
jalan orang yang sesat), Allah berfirman: Ini untuk hambaKu dan untuk hambaKu
apa yang ia pinta.
Riwayat Jamaah selain
Bukhari dan Ibnu Majah
Solat bagi orang
yang belum menghafal Al-Fatihah
Adapun bagi orang
Islam yang belum menghafal Al-Fatihah, maka hendaklah dia solat dengan membaca
apa-apa yang dihafalnya dari ayat Al-Quran. Jika tiada dihafalnya walau sedikit
dari ayat-ayat Al-Quran maka hendaklah dia bertahmid, bertakbir, bertahlil
kemudiannya barulah dia ruku'. Ini beralasankan hadits Rifa'ah bin Rafi':
عَنْ رِفَاعَةَ بْنِ
رَافِعٍ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص عَلَّمَ رَجُلاً الصَّلاَةَ فَقَالَ: اِنْ
كَانَ مَعَكَ قُرْآنٌ فَاقْرَأْهُ وَاِنْ لاَ فَاحْمِدِ اللهَ وَكَبِّرْهُ
وَهَلِّلْهُ ثُمَّ ارْكَعْ
Daripada Rifa'ah
bin Rafi' ia berkata: Bahawa Rasulullah saw mengajarkan solat kepada seorang
lelaki maka beliau saw bersabda: Jika engkau ada menghafal beberapa ayat
Al-Quran maka bacalah ia. Jika tidak, pujilah Allah dan bertakbirlah serta
bertahlil. Sesudah itu barulah engkau ruku'.
Riwayat Abu Daud
dan Tirmidzi[3].
Hadits seterusnya:
عَنْ عَبْدِ اللهِ
بْنِ اَبِى اَوْفَى قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ اِلَى النَّبِيِّ ص فَقَالَ: اِنِّيْ لاَ
اَسْتَطِيْعُ اَنْ آخُذَ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا فَعَلِّمْنِيْ مَا يُجْزِئُنِيْ.
قَالَ: قُلْ سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ
اَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ
Daripada
Abdullah bin Abi Aufa ia berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw
lalu berkata: Sesungguhnya aku tidak mampu untuk menghafal walau sedikit dari
ayat Al-Quran maka ajarkanlah aku sesuatu yang dapat mengganjarkan aku
(menggantikan ayat Al-Quran). Bersabda Nabi saw: Ucapkanlah Subhanallah
walhamdulillah wala ilaaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa
billah (bermaksud) Maha suci Allah dan pujian bagi Allah dan tiada Tuhan yang
disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan tiada usaha dan kekuatan melainkan
dengan Allah
Riwayat Ahmad, Abu
Daud, An-Nasaie dan Ad-Daruquthni
Bagi orang yang belum menghafal Al-Fatihah, hendaklah ia membaca dalam
solatnya apa-apa dari ayat Al-Quran yang dihafalnya. Jika dia tidak menghafal
walau sedikit dari ayat Al-Quran maka kemudiannya barulah dibenarkan ia membaca
tasbih, tahmid, tahlil sebagaimana tersebut dalam hadits di atas.
Kedua-dua hadits di atas bukan bermaksud bahawa orang yang belum atau tidak
menghafal Al-Fatihah maka cukup ia membaca bacaan-bacaan di atas untuk
selamanya akan tetapi ia menerangkan selama seseorang itu masih belum menghafal
Al-Fatihah maka boleh ia membaca sedikit dari ayat Al-Quran atau zikir-zikir di
atas dalam solatnya dan hendaklah pada masa yang sama ia mempelajari dan
menghafal Al-Fatihah kerana itulah kewajipan yang mesti dibaca dalam solat.
Setelah ia menghafal Al-Fatihah, maka wajib ia membaca Al-Fatihah dan
meninggalkan kaedah tersebut di atas
[1] Berkata
Al-Khatthabi dalam Ma'alimus Sunan: "Dimaksudkan dengan khidaj dalam
hadits ini ialah tidak sah." Bukhari dalam kitabnya Juzul Qiraah menyebut:
"Dimaksudkan dengan khidaj ialah keluar dari perut ibunya dalam keadaan
mati tidak bernyawa (keguguran).
[2] Dalam
sanad hadits ini terdapat seorang perawi yang diragukan iaitu Muhammad bin
Ishaq akan tetapi hadits ini dikuatkan shahihnya dengan hadits di atas.
[3] Hadits
ini adalah suatu bahagian dari hadits musi'i solat (orang yang rosak solatnya).
Diterangkan oleh Al-Mundziri bahawa hadits ini diriwayatkan juga oleh
An-Nasaie. Menurut Tirmidzi hadits ini hasan.
No comments:
Post a Comment