SOLAT
Pandangan mata
Kita telah membincangkan tentang
bersedekap pada pelajaran yang lalu maka pada siri kali ini kita masuk kepada
bab pandangan mata dalam solat. Dalam sepotong riwayat, dinyatakan oleh sahabat
bahawa Rasulullah saw melarang orang yang sedang bersolat memandang ke langit
sebagaimana hadits yang berbunyi :
عَنْ
جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: لَيَنْتَهِيَنَّ اَقْوَامٌ
يَرْفَعُوْنَ اَبْصَارَهُمْ اِلَى السَّمَاءِ فِي الصَّلاَةِ اَوْ لاَ تَرْجِعُ
اِلَيْهِمْ
Daripada
Jabir bin Samurah ia menerangkan : Rasulullah saw. bersabda : Hendaklah orang-orang
berhenti dari mengangkat penglihatan mereka ke langit di dalam solat, atau biarlah (penglihatan
mereka) tiada akan kembali kepada mereka.”
Riwayat Muslim
Daripada Abu Hurairah bahawa
Rasulullah saw bersabda:
لَيَنْتَهِيَنَّ
اَقْوَامٌ يَرْفَعُوْنَ اَبْصَارَهُمْ اِلَى السَّمَاءِ فِيْ الصَّلاَةِ اَوْ
لَتُخْطَفَنَّ اَبْصَارُهُمْ
Hendaklah orang-orang menghentikan
(perbuatan mereka) mengangkat penglihatan ke langit atau akan dicabut penglihatan mereka.
Riwayat Ahmad, Muslim dan
An-Nasaie
Maka berdasarkan dari hadits di atas dan beberapa hadits lainnya maka ulama
ahli hadits mengambil faham dilarang keras memandang ke atas iaitu ke langit
semasa solat dan hendaklah menunduk pandangan mata itu kepada urusan
solat, ada yang berpandangan caranya adalah jika semasa berdiri itu
matanya ditujukan ke tempat sujud. Imam As-Syafei dan ulama Kufah mengambil
pandangan dalam urusan ini dengan katanya : “Disukai bagi mereka yang solat
memandang ke tempat sujudnya.” Ini berdalilkan sepotong riwayat:
كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا صَلَّى
طَأْطَأَ رَأْسَهُ وَرَمَى بِبَصَرِهِ نَحْوَ الأَرْضِ
Adalah (Nabi) saw apabila solat, maka beliau menundukkan
kepalanya dan melemparkan pandangannya ke bumi
لَمَّا دَخَلَ الْكَعْبَةَ مَا خَلَفَ بَصَرُهُ مَوْضِعَ
سُجُوْدِهِ حَتَّى خَرَجَ مِنْهَا
Tatkala beliau saw memasuki Kaabah maka pandangannya
tidak pernah meninggalkan tempat sujudnya hingga beliau keluar daripadanya.
Kedua-dua hadits di atas diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dan Al-Hakim dan
dishahihkan olehnya. Demikian sebagaimana dinyatakan dalam kitab Sifat Solat
Nabi oleh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.
Namun demikian terdapat beberapa riwayat lainnya yang dapat kita mengambil
pedoman dalam bab ini.
قَالَ أَنَسٌ: كَانَ قِرَامٌ لِعَائِشَةَ سَتَرَتْ بِهِ
جَانِبَ بَيْتِهَا فَقَالَ لَهَا النَّبِيُّ ص: اَمِيْطِيْ قِرَامَكَ فَاِنَّهُ
لاَ تَزَالُ تَصَاوِيْرُهُ تَعْرِضُ لِيْ فِي صَلاَتِيْ
Telah berkata Anas: Aisyah mempunyai tabir tipis yang
dipasang sebagai penutup bahagian dinding rumahnya maka Nabi saw bersabda:
Turunkan tabirmu itu kerana gambar-gambarnya menggangguku dalam solat
Riwayat Bukhari[1]
Iaitu dapat kita ambil kefahaman dari hadits ini bahawa biasa
Rasulullah saw ketika dalam solatnya memandang ke hadapan iaitu ke arah tirai
di mana terdapat gambar pada tirai tersebut yang mengganggu pandangan atau
khusyuknya dalam solat maka Rasulullah saw perintahkan Aisyah menurunkan tirai
tersebut. Dalam hadits lainnya Aisyah menerangkan:
اَنَّ
النَّبِيَّ ص صَلَّى فِيْ خَمِيْصَةٍ لَهَا اَعْلاَمٌ فَقَالَ: شَغَلَتْنِيْ
اَعْلاَمٌ هَذِهِ، اِذْهَبُوْا بِهَا اِلَى أَبِى جَهْمٍ وَأْتُوْنِيْ
بِاَنْجَابِيَّةٍ
Bahawa Nabi saw bersolat dengan mengenakan pakaian dari
bulu yang bergambar kemudian beliau saw bersabda: Gambar-gambar pakaian ini
mengganggu perhatianku, kembalikanlah kepada Abu Jaham dan tukarlah dengan
pakaian bulu kasar yang tidak bergambar
Riwayat Bukhari, Muslim dan Malik[2].
Hadits ini pula menjelaskan bahawa gambar-gambar pada
baju Rasulullah saw telah mengganggu khusyuknya dalam solat iaitulah apabila pandangan
mata Rasulullah saw tertumpu pada gambar-gambar tersebut. Manakala di ketika duduk tasyahud, dijelaskan
dalam sebuah hadits, Rasulullah saw. memandang ke jari tangan yang ia isyaratkan
iaitu jari telunjuk. Kita lihat haditsnya yang berbunyi :
عَنْ
عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ كَانَ رَسُولُ الله ص اِذَا جَلَسَ فِي
التَّشَهُّدِ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخْذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ
الْيُسْرَى عَلَى فَخْذِهِ الْيُسْرَى وَاَشَارَ بِالسَّبَابَةِ وَلَمْ يُجَاوِزْ
بَصَرُهُ اِشَارَتَهُ
Abdullah bin Az-Zubair r.a.
berkata : Adalah Rasulullah saw. apabila duduk tasyahud, meletakkan tangan
kanannya atas paha kanannya dan tangan kiri atas paha kirinya, beliau
mengisyaratkan dengan telunjuknya, sedang pandangan matanya tidak melampaui ke
tempat isyarat itu.
Riwayat Ahmad, An-Nasaie dan Abi
Daud.
Kita renungkan hadits lainnya:
عَنْ
اَبِى مُوْسَى الأَشْعَرِيّ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص خَطَبَنَا فَبَيَّنَ
لَنَا سُنَّتَنَا وَعَلَّمَنَا صَلاَتَنَا وَقَالَ: اِذَا صَلَّيْتُمْ
فَأَقِيْمُوْا صُفُوْفَكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ اَحَدُكُمْ فَاِذَا كَبَّرَ
فَكَبِّرُوْا فَاِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوْا وَاِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ
عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ فَقَالُوْا آمِيْنَ يُجِبْكُمُ اللهُ وَاِذَا
كَبَّرَ وَرَكَعَ فَكَبِّرُوْا وَارْكَعُوْا فَاِنَّ الاِمَامَ يَرْكَعُ
قَبْلَكُمْ وَيَرْفَعُ قَبْلَكُمْ قَالَ رَسُوْلُ الله فَتِلْكَ بِتِلْكَ فَاِذَا
قَالَ سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُوْلُوْا اَللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ
الْحَمْدُ يَسْمَعُ لَكُمُ اللهُ فَاِنَّ اللهَ قَالَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ
سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَاِذَا كَبَّرَ وَسَجَدَ فَكَبِّرُوْا وَاسْجُدُوْا
فَاِنَّ الاِمَامَ يَسْجُدُ قَبْلَكُمْ وَيَرْفَعُ قَبْلَكُمْ قَالَ رَسُوْلُ الله
فَتِلْكَ بِتِلْكَ ......
Daripada Abu Musa Al-Asy'ari ia berkata: Bahawa
Rasulullah saw berkhutbah kepada kami dan menerangkan kepada kami sunnah-sunnah
dan mengajarkan kami solat dan beliau saw bersabda: Apabila kamu solat maka
tegakkan (luruskan) barisan-barisanmu (shaf-shafmu) kemudian hendaklah
seseorang daripada kamu mengimami kamu sekalian maka apabila ia (imam) telah
bertakbir maka bertakbirlah kamu sekalian, maka apabila ia (imam) membaca maka
hendaklah kamu sekalian diam, apabila ia membaca ghairil maghdhuubi 'alaihim
waladh dhaaliin maka kamu sekalian ucapkan aamin, nescaya Allah
perkenankanmu, apabila imam bertakbir dan ruku', maka bertakbirlah dan
rukuk'lah kamu kerana sesungguhnya imam
mengerjakan ruku' sebelum ruku'mu dan ia mengangkat kepalanya (beri'tidal)
sebelum kamu mengangkat kepala. Rasul saw bersabda; "itu dengan
itu". Dan apabila imam membaca sami'allahu
liman hamidah. Bacalah "allahuma rabbana lakalhamdu, supaya
Allah mendengarmu. Allah telah berfirman dengan perantaraan lidah Nabi-Nya Sami'allahu
liman hamidah. Dan apabila imam
telah bertakbir dan bersujud, maka bertakbirlah dan bersujudlah kamu maka
sesungguhnya imam bersujud dan mengangkat kepalanya sebelum kamu mengangkatnya.
Rasul saw bersabda: "itu, dengan itu"……
Riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasaie dan At-Tirmidzi
عَنْ
اَنَسٍ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُوْلُ الله ص ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمَّا قَضَى
الصَّلاَةَ اَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ اَيُّهَا النَّاسُ اِنِّيْ
اِمَامُكُمْ فَلاَ تَسْبِقُوْنِيْ بِالرُّكُوْعِ وَلاَ بِالسُّجُوْدِ وَلاَ
بِالْقِيَامِ وَلاَ بِالاِنْصِرَافِ ...
Daripada Anas ia berkata: Rasulullah saw bersolat
mengimami kami pada suatu hari, setelah selesai solat beliau menghadapkan
wajahnya kepada kami lalu bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku imam kamu
semua, maka jangan kamu semua mendahuluiku ketika ruku', ketika sujud, ketika
berdiri dan ketika menyudahi solat ….
Shahih riwayat Muslim
Sesungguhnya terdapat kecaman yang keras daripada
Rasulullah saw bagi para makmum yang mendahului imam. Bersabda Rasulullah saw:
اَمَا
يَخْشَى الَّذِيْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ قَبْلَ الاِمَامِ اَنْ يُحَوِّلَ اللهُ
رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ
Apakah orang-orang yang mengangkat kepalanya lebih dahulu
dari imam tidak takut bahawa akan ditukarkan kepala mereka dengan kepala
keldai?
Shahih riwayat Muslim
Hadits ini menerangkan tentang
aturan bersolat jemaah bahawa makmum itu perlu mengikuti imam, bukan makmum
melakukan perbuatan solat serentak dengan perbuatan imam atau hampir seiring
dengan perlakuan imam akan tetapi setelah imam sempurna melakukan sesuatu rukun
seperti ruku', i'tidal dan sujud maka barulah makmum mengikut perbuatan imam
tersebut. Maka untuk makmum itu mengetahui pergerakan imam, tidak dapat tidak
mestilah ia melihat ke arah imam untuk memastikan telah sempurna perbuatan imam
itu. Inilah yang dapat difahami dari hadits Rasulullah di atas bahawa imam itu
bertakbir dan ruku' sebelum makmum, beri'tidal sebelum makmum, bersujud sebelum
makmum dan makmum melakukan setelah imam sempurna perbuatannya. Maka diambil
kefahaman dari hadits ini bahawa makmum itu boleh melihat ke arah imam untuk
memastikan telah sempurna ruku' imam maka barulah kita (sebagai makmum) ruku'
dan begitulah juga sujudnya apabila telah sempurna sujudnya (imam) barulah kita
sujud.
Maka apa yang dapat saya simpulkan di sini bahawa hendaklah pandangan
kita itu dalam solat kerana kita bersolat dan perlu kepada penumpuan iaitu
khusyuk iaitu tidak semestinya pandangan itu ke tempat sujud tetapi boleh
memandang selagi tidak sampai lalai atau mengganggu akan khusyuk solat yang
kita lakukan. Firman Allah dalam surah Al-Maa'uun ayat 4-5 [107:4-5]
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّيْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ عَنْ
صَلاَتِهِمْ سَاهُوْنَ
Maka kecelakaan bagi orang-orang yang solat iaitu mereka
yang lalai dari solatnya
FirmanNya lagi: Surah
Al-Mukminuun ayat 1-2 [23:1-2]
قَدْ
اَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلاَتِهِمْ خَاشِعُوْنَ
Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman iaitu
mereka yang khusyuk dalam solatnya
Demikianlah sekadar kefahaman yang dapat disampaikan
dalam bab ini dengan bersandarkan keterangan-keterangan dari hadits Rasulullah
saw.
Larangan berpaling muka dalam
solat
عَنْ
أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ لِيْ رَسُوْلُ الله ص: اِيَّاكَ وَالاِلْتِفَاتَ
فِي الصَّلاَةِ فَاِنَّ الاِلْتِفَاتَ فِي الصَّلاَةِ هَلَكَةٌ فَاِنْ كَانَ لاَ
بُدَّ فَفِي التَّطَوُّعِ لاَ فِي الْفَرِيْضَةِ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Telah bersabda
kepadaku Rasulullah saw: Jauhkanlah dirimu dari berpaling-paling dalam solat
kerana berpaling-paling dalam solat itu kebinasaan. Jika tidak dapat tidak
(perlu berpaling) maka dalam solat sunat, jangan dalam solat fardhu
Riwayat At-Tirmidzi
Hadits ini melarang orang yang bersolat berpaling-paling
mukanya dalam solatnya, sekejap berpaling mukanya ke kanan kemudian ke kiri
kemudian ke kanan dan sebagainya. Bahawa berpaling itu sekali-kali tidak boleh
dilakukan dalam solat fardhu dan adapun dalam solat sunat, sekiranya amat perlu
maka boleh berpaling di mana para ulama mengambil kefahaman dari hadits ini
hanya sekali sahaja yang dibenarkan berpaling (dalam solat sunat). Sesungguhnya
berpaling ini adalah dari sambaran syaitan sebagaimana sabda Rasulullah saw:
عَنْ
عَائِشَةَ قَالَتْ: سَاَلْتُ رَسُوْلَ الله ص عَنِ التَّلَفُّتِ فِي الصَّلاَةِ
فَقَالَ: اِخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ
Daripada Aisyah ia berkata: Aku bertanya Rasulullah saw
tentang berpaling-paling dalam solat maka beliau saw bersabda: Itu suatu
sambaran daripada syaitan terhadap solat seorang hamba (manusia)
Riwayat Ahmad, Bukhari, An-Nasaie dan Abu Daud
Bersolat dengan memejamkan
mata
Dalam bab ini, tiadalah saya
peroleh keterangan daripada Rasulullah saw bahawa beliau memejamkan matanya
ketika solat. Sebahagian ulama memandang makruh solat dengan memejamkan mata
dan sebahagiannya membolehkannya tanpa makruh sama sekali. Berkata Ibnul
Qayyim: Yang benar ialah; kalau dengan membuka mata itu tidak menghalang
kekhusyukkan maka itu lebih utama. Tetapi kalau dengan itu jadi terganggu,
misalnya di depannya ada ukiran, lukisan dan lain-lain maka memejamkan mata itu
tidak saja diperbolehkan bahkan jika ditinjau dari kehendak syara', lebih
kuatlah dikatakan sunat sunat daripada makruh[3].
الله اعلم
[1] Hadits
yang hampir semakna dengan hadits di atas juga ada diriwayatkan oleh Muslim dan
Abu 'Uwanah di mana dikhabarkan bahawa Rasulullah saw bersolat dengan menghadap
ke arah kain bergambar tersebut. Rujuk Fathul Bari untuk penjelasan lanjut.
[2]
Disebutkan dalam riwayat lainnya bahawa Rasulullah saw telah melihat kepada
gambar/tanda di bajunya hingga menyebabkan terganggu khusyuknya Rasulullah saw.
Rujuk Sifat Solat Nabi oleh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam Bab melihat
tempat sujud dan khusyuk.
[3] Dipetik
dari kitab Fiqh Sunnah pada Bab Hal-hal yang dimakruhkan dalam solat;
Memejamkan mata
No comments:
Post a Comment