Wednesday, June 18, 2014

Sifat Solat Nabi: Membaca ta'awwudz (9)


Membaca ta'awwudz

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 98 [16:98]

فَاِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Maka apabila engkau membaca Al-Quran maka mintalah perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam

Ayat di atas merupakan perintah Allah supaya dibacakan ta'awwudz[1] sebelum membaca ayat Al-Quran di mana perintah ini adalah perintah umum yang mencakup di dalam atau di luar solat. Dalam bab ini, terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan Rasulullah saw ada membaca ta'awwudz di dalam solat maka dimanakah tempatnya dibacakan ta'awwudz itu?

قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ: جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ ص اَنَّهُ كَانَ يَقُوْلُ قَبْلَ الْقِرَاءَةِ اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Telah berkata Ibnul Mundzir: Telah datang (riwayat) daripada Nabi saw sesungguhnya beliau saw membaca A'uudzu billahi minasy-syaithanir-rajiim (bermaksud) Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam  sebelum membaca (Al-Quran)

Dalam riwayat lainnya diperincikan lagi darihal tempat membaca ta'awwudz ini sebagaimana diterangkan daripada Abu Said Al-Khudri:

عَنْ اَبِى سَعِيْدٍ الْخُدْرِىِّ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ اسْتَفْتَحَ ثُمَّ يَقُوْلُ اَعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفَثِهِ
Daripada Abu Said Al-Khudri ia berkata: Adalah Nabi saw apabila berdiri untuk solat beliau membaca (zikir) iftitah kemudiannya beliau membaca A'uudzu billahis sami'il 'alimi minasy-syaithaanir-rajiimi min hamzihi wanafkhihi wanafatsihi (bermaksud) Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam dari tikamannya, tiupannya dan ludahannya
Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud[2].

Daripada Nafi' bin Jubair bin Muth'im daripada bapanya ia berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ فِي التَّطَوُّعِ اَللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَاَصِيْلاً ثَلاَثَ مَرَّاتٍ اَللَّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُبِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْثِهِ وَنَفْخِهِ. قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ الله مَا هَمْزُهُ وَنَفْثُهُ وَنَفْخُهُ؟ قَالَ: اَمَّا هَمْزُهُ فَالْمَوْتَهُ الَّتِى تَأْخُذُ بَنِى آدَمَ اَمَّا نَفْخُهُ الْكِبْرُ وَنَفْثُهُ الشِّعْرُ
Aku mendengar Rasulullah saw membaca dalam (solat) tathawwu' Allahu akbaru kabiira bermaksud (Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar) 3x dan Walhamdulillahi katsiera bermaksud (dan pujian-pujian bagi Allah yang amat banyak) 3x dan Wasubhaanallahi bukratan wa ashila bermaksud (dan Maha Suci Allah di pagi dan petang) 3x. Allahumma inni a'uudzubika minasy-syaithanir-rajiimi min hamzihi wanaftsihi wanafkhihi bermaksud (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada syaitan yang direjam dari fitnahnya, hembusan dan tiupannya). Aku berkata: Ya Rasulullah, apa itu fitnah, hembusan dan tiupannya itu? Beliau saw bersabda: Fitnahnya ialah sengketa di antara manusia, tiupannya ialah takabbur dan hembusannya ialah syair
Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dengan diringkaskan

Daripada keterangan-keterangan yang dibawakan, ianya jelas menunjukkan bahawa ta'awwudz ini hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir iftitah sebelum membaca Basmallah dan ta'awwudz ini tidak dibacakan pada rakaat-rakaat lainnya dan tidak juga dibacakan ketika hendak membaca surah selepas Al-Fatihah. Inilah pengamalan yang terang bersandarkan pengamalan Rasulullah saw dan sahabat di mana telah berkata Al-Aswad:

وَقَالَ الأَسْوَدُ: رَاَيْتُ عُمَرَ – حِيْنَ يَفْتَتِحُ الصَّلاَةَ – يَقُوْلُ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلاَ اِلَهَ غَيْرُكَ ثُمَّ يَتَعَوَّذُ
Telah berkata Al-Aswad: Aku melihat Umar – ketika memulai solat – mengucapkan Subhaanakallahumma wabihamdika watabarakasmuka wata'aala jadduka wala ilaaha ghoiruka bermaksud (Maha suci Engkau ya Allah dan pujian bagiMu, Maha Berkat NamaMu dan Maha Tinggi keagunganMu dan tiada Tuhan yang disembah selainMu) kemudian dia berta'awwudz
Riwayat Ad-Daruquthni

Tiada diperoleh keterangan daripada Rasulullah saw bahawa beliau ada membaca ta'awwudz dalam rakaat kedua, ketiga atau keempat dan tiada diperoleh keterangan bahawa Rasulullah saw ada membaca ta'awwudz sebelum membaca surah selepas Al-Fatihah maka tinggalkanlah perkara-perkara yang tiada contohnya daripada Rasulullah saw ini dan beramallah dengan keterangan yang jelas bukan dengan sangkaan kerana sesungguhnya sangkaan itu sedikitpun tidak berguna untuk mendapatkan kebenaran. Firman Allah: Surah Yunus ayat 36 [10:36]


وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya zhan (sangkaan) itu, tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.”

Kesimpulan
Ta'awwudz hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir iftitah sebelum membaca Basmallah.


[1] Yang dikatakan ta'awwudz ialah meminta perlindungan Allah di mana dalam ayat 98 surah An-Nahl ini dijelaskan   فَاسْتَعِذْ بِاللهِ   iaitu memohon perlindungan Allah daripada syaitan dengan bacaan seperti A'uudzu billahi minasy-syaithaanir-rajiim
[2] Menurut At-Tirmidzi, hadits ini adalah hadits yang paling masyhur dalam urusan ini dan telah diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu. Sanad hadits Abu Said ini diperkatakan oleh para ahli hadits namun begitu hadits ini dapat dijadikan hujjah kerana datangnya melalui banyak jalan maka riwayat-riwayat ini saling menguatkan satu sama lain.

No comments:

Post a Comment