Waktu membaca takbir di kala
takbiratul-ihram
Kita masuk pada bab waktu membaca
Takbir dalam Takbiratul ihram. Terpecah ulama kepada tiga pandangan dalam bab
ini sebagaimana berikut:
-
Tangan diangkat bersamaan dengan takbir
-
Tangan diangkat sebelum takbir
-
Tangan diangkat sesudah takbir
Untuk itu marilah kita
bersama-sama merujuk keterangan-keterangan dari bab ini.
1. Dalil tangan diangkat
bersamaan dengan takbir
عَنْ
نَافِعٍ مَوْلَى ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اِنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ اِذَا دَخَلَ فِي
الصَّلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ ..... وَرَفَعَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ اِلَى
النَّبِيِّ ص
Daripada Nafi' maula Ibnu Umar ia berkata: Bahawa Ibnu
Umar apabila ia masuk ke dalam solat ia bertakbir dan mengangkat kedua
tangannya ……. dan Ibnu Umar angkatkan perbuatan demikian (berasal) daripada
Nabi saw
Riwayat Bukhari, Nasai dan Abu Daud
Hadits seterusnya berbunyi :
عَنْ
عَبْدِ الْجَبَّار قَالَ: اِنَّ وَائِلَ ابْنَ حُجْرِ رَاَى رَسُولَ الله ص
يَرْفَعُ يَدَيْهِ مَعَ التَّكْبِيْرِ
Abdul Jabbar ibn Wail
menerangkan : “Bahawasanya Wail ibn Hujr melihat Rasulullah saw. mengangkat
kedua-dua tangannya sambil bertakbir.”
Riwayat Ahmad dan Abu Daud[1].
Kita lihat hadits seterusnya yang
berbunyi :
عَنْ
عَلِيِّ ابْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ: اِنَّ رَسُولَ الله ص اِذَا قَامَ اِلَى
الصَّلاَةِ الْمَكْتُوْبَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ...
“Ali bin Abi Talib
menerangkan : Bahawasanya Rasulullah saw. apabila telah bersiap untuk solat
maktubah (fardu) beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya…”
Riwayat Ahmad, Abu Daud dan
At-Turmidzi. Menurut At-Tirmidzi hadits ini shahih.
2. Dalil tangan diangkat
sebelum takbir
عَنِ
ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ رَفَعَ
يَدَيْهِ حَتَّى تَكُوْنَا بِحَذْوِ مَنْكِبَيْهِ ثُمَّ يُكَبِّرُ
Daripada Ibnu Umar katanya: Adalah Nabi saw apabila
berdiri hendak solat beliau mengangkat kedua tangannya berbetulan dengan dua
bahunya kemudian beliau bertakbir
Riwayat Bukhari dan Muslim
3. Dalil tangan diangkat sesudah takbir
عَنْ
مَالِكِ ابْنِ الْحُوَيْرِث قَالَ: اِنَّ رَسُولَ الله ص كَانَ اِذَا كَبَّرَ
رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا اُذُنَيْهِ...
Daripada Malik Ibnu Huwarits
menerangkan : “Bahawasanya Rasulullah saw. apabila telah bertakbir beliau
mengangkat kedua tangannya hingga berbetulan dengan kedua telinganya…..”
Riwayat Ahmad dan Muslim.
عَنْ
مَالِكِ ابْنِ الْحُوَيْرِثِ: كَبَّرَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ
Daripada Malik bin Huwairits: Ia bertakbir kemudian
mengangkat kedua tangannya
Riwayat Muslim
Pentarjihan
Sesungguhnya ketiga-tiga cara ini adalah bersandarkan
hadits Rasulullah saw dan bahawa solat itu tetap sah walau diambil dari cara
mana sekalipun (sebagaimana tersebut di atas) namun cara yang dipandang lebih
utama iaitulah dengan bersandarkan kekuatan dan banyaknya riwayat ialah
mengangkat tangan itu bersamaan dengan takbir. Ulama-ulama Syafi'iyah berpegang
kepada hadits dianjurkan kita mengangkat tangan bersamaan dengan takbir di mana
pentarjihan oleh ulama Syafi'iyah ini disetujui oleh ulama-ulama Malikiyah.
Berkata An-Nawawi dalam syarah
Muslim : “Mengangkat tangan dikala
bertakbir (takbirratul ihram), disyariatkan”
Daud dan Ibnu Hazm berkata :
“Mengangkat tangan dikala
bertakbiratul ihram, adalah fardu. Demikianlah pendapat sekian banyak ulama
Ahlul Hadits dari bab ini seperti : Abul Hasan, Ahmad ibn Sayyar, An-Naisabury
(dari ulama Syafi’iah), Al-Auzai, Al-Humaidi (guru Al-Bukhari) dan Ibnu
Khuzaimah (seorang ulama besar yang terkenal dalam kalangan Syafi’iah).
Berkata Al-Hafizh Ibnu Hajar :
“Menurut pendapat sebahagian ulama Hanafiah, bahawa Abu Hanifah memandang
berdosa orang yang tiada mengangkat tangan ketika
bertakbiratul ihram.” Rujukkan : Koleksi Hadis Hadis Hukum 3.
Demikianlah keterangan keterangan
dari hadits-hadits juga ulasan para ulama dari hal mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram. Inilah cara
yang kuat dan masyhur dari cara bertakbiratul ihram iaitu tidak dipisahkan
keduanya.
الله اعلم
[1] Menurut
pengarang 'Aunul Ma'bud, hadits ini munqathi'. Wail bin Hujr mempunyai dua orang
anak iaitu Abdul Jabbar dan Alqomah bahawa Abdul Jabbar ini tiada mendengar
hadits daripada bapanya yakni Wail bin Hujr manakala Alqomah maka ia ada
mendengar hadits daripada bapanya. Menurut At-Tirmidzi: Alqomah bin Wail lebih
tua daripada Abdul Jabbar dan Abdul Jabbar ini tiada mendengar daripada
bapanya. Untuk lebih lanjut, rujuk 'Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud oleh
'Allamah Abi ath-Thayyib Muhammad Syamsul Haq al-Adzim Aabadi dengan ta'liq daripada
Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam Kitab Solat pada Bab Mengangkat Kedua Tangan
Dalam Solat, juz kedua, halaman 214, Darul Fikr, Beirut Lubnan.
No comments:
Post a Comment