Bacaan (Doa) Iftitah
Kita masuk kepada membaca zikir
Iftitah, di mana dalam bab ini terdapat beberapa bacaan yang dicontohkan oleh
Rasulullah saw kepada kita semasa beliau mengerjakan solat fardhu dan sunnat. Kita cuba teliti bab ini satu persatu dari
zikir-zikir itu. Hadits pertama :
عَنْ
عَلِيِّ بْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى
الصَّلاَةِ قَالَ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ
حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا اَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ، اِنَّ صَلاَتِيْ
وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، لاَ شَرِيْكَ
لَهُ وَبِذَلِكَ اُمِرْتُ وَاَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ اَنْتَ
الْمَلِكُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اَنْتَ، اَنْتَ رَبِّيْ وَاَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ
نَفْسِيْ وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ جَمِيْعًا لاَ
يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ اِلاَّ اَنْتَ وَاهْدِنِيْ لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ
يَهْدِى لأَحْسَنِهَا اِلاَّ اَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّيْ سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ
عَنِّيْ سَيِّئَهَا اِلاَّ اَنْتَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ
فِيْ يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ اِلَيْكَ اَنَا بِكَ وَاِلَيْكَ تَبَارَكْتَ
وَتَعَالَيْتَ اَسْتَغْفِرُكَ وَاَتُوْبُ اَلَيْكَ
Ali
bin Abi Talib menerangkan : Adalah Nabi saw. apabila telah berdiri dalam solat
sesudah membaca takbir, beliau membaca: Wajjahtu wajhiya lilladzi….. (bermaksud)
Aku hadapkan diriku kepada Allah yang telah menciptakan langit dan bumi. Aku
mencondongkan diriku kepada kebenaran lagi menyerah diri kepada-Nya dan aku
sekali-kali bukan dari orang-orang yang menyekutui sesuatu dengan Allah. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku
dan matiku, semata-mata kerana Allah, Tuhan yang memiliki sekelian alam. Tak
ada sekutu bagi-Nya. Demikian aku disuruh dan adalah aku ini dari orang-orang
Islam (orang yang menyerahkan diri kepada Allah). Ya Allah, Engkaulah raja,
tiada ada Tuhan selain daripada Engkau. Engkaulah Tuhanku, aku hambamu. Telah
aku aniayai diriku. Aku mengaku akan dosaku. Tiada yang dapat mengampuni dosa,
selain daripada-Mu. Pimpinlah daku kepada sebaik-baik perangai, kerana tidak
ada yang dapat memimpin kepada sebaik-baik perangai, selain daripada-Mu.
Palingkanlah daripada diriku segala perangai yang buruk. Tidak ada yang dapat
memalingkan kejahatan daripadaku, selain Engkau jua. Aku selalu berketetapan
dalam mentaati-Mu dan aku mengerjakan perintah-Mu setiap masa. Segala kebajikan
di tangan-Mu. Dan kejahatan itu sedikitpun tidak kembali kepada-Mu. Aku
dengan-Mu dan kepada-Mu, Maha Berkat diri-Mu dan Maha Tinggi. Aku memohon
keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.
Riwayat Ahmad, Muslim dan At-Turmidzi.
Bacaan ini diriwayatkan
oleh Imam Muslim dalam bab sifat solat Nabi dan dalam doa Nabi saw. pada solat
malam. At-Tirmidzi pula meriwayatkan dalam bab beliau bangun tidur di malam
hari untuk solat malam (solat sunnat). Menurut Al Baihaqi dan
At-Thabarani, Nabi saw. membaca doa tawajjuh ini dalam solat fardhu.
Bacaan lainnya ialah :
عَنِ
الأَسْوَدِ قَالَ: كَانَ عُمَرُ اِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ قَالَ سُبْحَانَكَ
اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلاَ اِلَهَ
غَيْرُكَ يُسْمِعُنَا ذَلِكَ وَيُعَلِّمُنَا
Daripada Al-Aswad
berkata: Adalah Umar apabila telah membaca takbiratul ihram, beliau membaca: Subhaanakallahumma
wa bihamdika wa tabarakas-muka wa ta’ala jadduka wa la ilaha ghairuka bermaksud
(Maha suci Engkau ya Allah dan pujian bagiMu, Maha Berkat NamaMu dan Maha
Tinggi keagunganMu dan tiada Tuhan yang disembah selainMu) Diperdengarkan
kepada kami bacaan itu dan diajarkan kepada kami
Riwayat Ad-Daruquthnie dengan
darjat yang sahih[1].
Menurut para ulama bahawa zikir
ini diamalkan oleh Umar, Abdullah bin Mas'ud dan Aisyah.
Bacaan zikir lainnya sebagaimana diriwayatkan daripada
Abu Hurairah:
عَنْ
اَبِيْ هُرَيْرَة قَالَ كَانَ رَسُولُ الله ص اِذَا كَبَّرَ لِلصَّلاَةِ سَكَتَ
هُنَيْهَةً قَبْلَ اَنْ يَقْرَأَ فَسَاَلْتُهُ فَقَالَ اَقُوْلُ اَللَّهُمَّ
بَاعِدْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ
وَالْمَغْرِبِ اَللَّهُمَّ نَقِّنِيْ مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ
الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ اَللَّهُمَّ اغْسِلْنِيْ مِنْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ
وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Daripada Abu
Hurairah ia berkata: Adalah Rasulullah saw apabila bertakbir untuk solat,
beliau berhenti seketika sebelum membaca (Al-Fatihah) maka aku bertanya
kepadanya maka beliau saw bersabda: Aku ucapkan (bermaksud) Ya Allah,
jauhkanlah antaraku dan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau jauhkan antara
Timur dan Barat. Ya Allah, bersihkan aku dari kesalahan-kesalahanku sebagaimana
dibersihkan kain yang putih dari kotoran. Ya Allah, mandikan aku dari
kesalahan-kesalahanku dengan air, salji dan embun.
Muttafaq 'Alaih
[1] Hadits
ini diriwayatkan dari banyak jalan daripada beberapa sahabat di mana terdapat
di antaranya mauquf (terhenti pada sahabat) dan ada juga yang ma'lul
(berpenyakit) namun hadits yang diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni di atas ini
adalah shahih di mana perawi-perawinya orang-orang yang dapat dipercaya.
Demikian sebagaimana ditegaskan oleh Syamsul Haq.
No comments:
Post a Comment