Membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah
Membaca Bismillah
sebelum membaca Al-Fatihah baik di rakaat pertama mahupun pada rakaat-rakaat
lainnya sememangnya ada dalil yang dapat disandarkan kepada Rasulullah di mana bacaan Bismillah sebelum
Fatihah ini ada yang menerangkan tentang dijaharkan dan ada yang menerangkan
tentang disirkan bacaannya, akan tetapi yang dipandang lebih kuat adalah
disirkan bacaannya, demikian menurut hadits-hadits yang terang shahih lagi
sharih dalam bab ini serta pengamalan sahabat. Kita renungkan
keterangan-keterangan dalam bab ini.
عَنْ عَبْدِ اللهِ
بْنِ اَبِى مُلَيْكَةَ قَالَ: اِنَّ اُمَّ سَلَمَةَ سُئِلَتْ عَنْ قِرَاءَةِ
رَسُوْلِ الله ص فَقَالَتْ: كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً بِسْمِ اللهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. الرَّحْمَنِ
الرَّحِيْمِ. مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ.
Daripada
Abdullah bin Abi Mulaikah ia berkata: Bahawa Ummu Salamah ditanya tentang
bacaan Rasulullah saw maka ia berkata: Adalah beliau saw memutuskan bacaannya
satu ayat satu ayat (beliau membaca satu ayat satu ayat), Bismillahir rahmanir
rahim…. Alhamdulillahi robbil 'alamin ……. ArrahmaanirRahiim …….Maaliki
yaumiddiin.
Riwayat Ahmad dan
Abu Daud. Menurut Al-Mundziri hadits ini juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan
An-Nasaie di mana At-Tirmidzi mengatakan hadits ini hasan shahih.
عَنْ نُعَيْمِ الْمُجَمِّرِ
قَالَ: صَلَّيْتُ وَرَاءَ اَبِى هُرَيْرَةَ فَقَرَأَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ
الرَّحِيْمِ ثُمَّ قَرَأَ بِاُمِّ الْقُرْآنِ وَيَقُوْلُ اِذَا سَلَّمَ وَالَّذِيْ
نَفْسِيْ بِيَدِهِ اِنِّيْ لأَشْبَهُكُمْ صَلاَةً بِرَسُوْلِ الله ص
Daripada Nu'aim
Al-Mujammir ia berkata: Aku telah solat di belakang Abu Hurairah maka dia
membaca Bismillahir rahmaanir rahiim kemudian dia membaca Ummul Kitab (Fatihah)
dan setelah dia mengucapkan salam dia berkata: Demi Allah yang jiwaku di
tanganNya, sesungguhnya aku adalah orang yang paling hampir solatnya dengan
solat Rasulullah saw daripada kamu sekalian
Riwayat An-Nasaie
dan Ibnu Khuzaimah. Berkata Al-Baihaqi: Hadits ini shahih sanadnya. Berkata Abu
Bakar Al-Khatib: Hadits ini shahih
Kedua-dua hadits di atas merupakan alasan yang dipegang oleh segolongan
ulama bahawa bacaan Basmallah itu dijaharkan bacaannya. Kita lihat keterangan
lainnya:
عَنْ أَنَسِ بْنِ
مَالِكٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ ص وَاَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ
فَلَمْ اَسْمَعْ اَحَدًا مِنْهُمْ يَقْرَأُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Daripada Anas
bin Malik ia berkata: Aku pernah solat bersama Nabi saw, Abu Bakar, Umar dan
Usman maka aku tidak mendengar seorang pun dari mereka membaca Bismillahir rahmaanir
rahiim
Riwayat Ahmad dan
An-Nasaie. Hadits ini sanadnya menurut syarat hadits shahih.
عَنْ أَنَسِ بْنِ
مَالِكٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ
وَعُثْمَانَ فَكَانُوْا يَسْتَفْتِحُوْنَ بِالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
لاَ يَذْكُرُوْنَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ فِي اَوَّلِ قِرَاءَةٍ
وَلاَ فِي آخِرِهَا
Daripada Anas
bin Malik ia berkata: Aku pernah solat di belakang Nabi saw, di belakang Abu
Bakar, Umar dan Usman maka adalah mereka memulai bacaan dengan Alhamdulillahi
robbil 'alamin, mereka tiada menyebut Bismillahir rahmaanir rahiim pada awal bacaan
(Al-Fatihah) dan tidak pula pada akhir bacaan (ketika membaca surah)
Hadits shahih
riwayat Muslim
Jika kita lihat pada dua hadits di atas, zahirnya menunjukkan seolah-olah
Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Usman tidak membaca Basmallah sebelum
membaca Al-Fatihah. Sebelum kita membuat sebarang keputusan dalam bab ini,
perlu terlebih dahulu kita kumpulkan kesekian dalil yang ada lalu kemudiannya
barulah kita rumuskan pegangan yang akan diambil.
Hadits daripada Abdullah bin Mulaikah dan Nu'aim Al-Mujammir menunjukkan
bahawa Rasulullah ada membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah. Adapun
maksud zahir hadits daripada Anas menerangkan bahawa seolah-olah Rasulullah
saw, Abu Bakar, Umar dan Usman tidak membaca Basmallah sebelum membaca
Al-Fatihah. Jika kita teliti hadits Anas di atas, ia tidak menafikan tentang
adanya bacaan Basmallah akan tetapi ianya menceritakan bahawa Rasulullah saw,
Abu Bakar, Umar dan Usman memulakan bacaan dengan Alhamdulillahi robbil
'alamiin di mana dalam riwayat lainnya menerangkan bahawa Basmallah itu
disirkan bacaannya.
وَفِيْ رِوَايَةٍ
لأَحْمَدَ وَالنَّسَائِي وَابْنِ خُزَيْمَةَ: لاَ يَجْهَرُوْنَ بِبِسْمِ اللهِ
الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Dalam riwayat
Ahmad, Nasaie dan Ibnu Majah: Mereka tidak menyaringkan
bismillahirrahmanirrahim
Dalam permasalahan apakah Basmallah itu dijaharkan atau disirkan bacaannya,
setelah dikumpulkan kesekian hadits yang berhubung masalah ini, para ulama
menyimpulkan bahawa Nabi saw biasa menjaharkan bacaan Basmallah dan biasa
mensirkan bacaan Basmallah akan tetapi mensirkan Basmallah itu lebih banyak
dilakukan Rasulullah saw di mana dengan mengambil petunjuk daripada pengamalan
sahabat, ulama menyatakan bahawa pernah mula-mulanya Rasulullah saw menjaharkan
Basmallah akan tetapi kemudiannya disirkan. Ini berpedomankan riwayat daripada
Anas[1]
bahawa ia pernah bersolat di belakang Nabi saw, pernah bersolat di belakang Abu
Bakar, pernah bersolat di belakang Umar dan Usman sedang para sahabat besar ini
tiada menjaharkan Basmallah.
Membaca Basmallah sebelum membaca surah
عَنْ أَنَسِ بْنِ
مَالِكٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ
وَعُثْمَانَ فَكَانُوْا يَسْتَفْتِحُوْنَ بِالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ
لاَ يَذْكُرُوْنَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ فِي اَوَّلِ قِرَاءَةٍ
وَلاَ فِي آخِرِهَا
Daripada Anas
bin Malik ia berkata: Aku pernah solat di belakang Nabi saw, di belakang Abu
Bakar, Umar dan Usman maka adalah mereka memulai bacaan dengan Alhamdulillahi
robbil 'alamin, mereka tiada menyebut Bismillahir rahmaanir rahiim pada awal bacaan (Al-Fatihah)
dan tidak pula pada akhir bacaan (ketika membaca surah)
Hadits shahih
riwayat Muslim
Zahir hadits di atas menunjukkan Rasulullah saw tiada menyebut Basmallah
sebelum membaca Al-Fatihah dan selepasnya namun dari hadits-hadits lainnya
telah diperincikan bahawa bukanlah Rasulullah saw tidak membaca Basmallah
sebelum Al-Fatihah tetapi dibaca secara sir akan tetapi dalam bab membaca
Basmallah sebelum membaca surah maka yang demikian ini langsung tiada diperoleh
keterangan daripada Rasulullah saw baik beliau membacanya secara sir atau
jahar.
Tiada diperoleh keterangan yang shahih atau hasan daripada Rasulullah saw
bahawa beliau saw membaca Basmallah sebelum membaca surah dan tiada juga
diperoleh keterangan bahawa ianya diamalkan oleh para sahabat malah perkara ini
tiada dibincangkan oleh para ulama ahli hadits dan ulama fiqh dalam kitab-kitab
mereka. Kebanyakan umat Islam yang membaca Basmallah sebelum membaca surah
adalah semata-mata berdasarkan sangkaan sedang dari segi keterangan, tiada
diperoleh tentangnya daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat.
Amalan membaca Basmallah sebelum membaca surah ini mestilah ditinggalkan
kerana ianya tiada contoh daripada Rasulullah saw dan sekiranya ia dilakukan,
maka ini termasuk perkara yang diada-adakan dalam urusan agama yang disebut
sebagai bid'ah di mana ianya satu kesesatan. Janganlah dinilaikan amalan ini
dari sudut logika baik atau buruknya tetapi nilaikanlah berdasarkan perintah
Rasul saw:
صَلُّوْا كَمَا
رَاَيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّى
Solatlah kamu
sebagaimana kamu melihat aku solat
Riwayat Bukhari dan
Ahmad
Urusan solat adalah urusan agama yang ada padanya perintah dan perincian
yang khusus daripada syara'. Apabila sesuatu amalan itu tiada dicontohkan oleh
Rasulullah saw dalam urusan agama maka yang demikian itu tidak boleh kita
kerjakan. Sesungguhnya syariat Islam itu tidak berdiri berdasarkan sangkaan
tetapi ianya berlandaskan dalil yang terang daripada Allah dan RasulNya.
Kesimpulan darihal ta'awwudz dan basmallah
Dengan keterangan-keterangan hadits yang telah dibawakan, dapat disimpulkan
sebagai berikut:
- Ta'awwudz hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir
iftitah sebelum membaca Basmallah
- Ta'awwudz tidak dibaca pada rakaat kedua, ketiga dan keempat dan
tidak dibaca sebelum membaca surah (selepas Al-Fatihah)
- Basmallah dibaca sebelum membaca Al-Fatihah di setiap rakaat dan
menurut keterangan yang kuat disirkan bacaannya
- Basmallah tiada dibaca ketika membaca surah selepas Al-Fatihah
Membaca Bismillahirrahmanirrahim sebelum membaca Al-Fatihah baik di rakaat
pertama atau rakaat selainnya adalah daripada sunnah Rasulullah saw akan tetapi
membaca Bismillahirrahmanirrahim sebelum membaca surah maka sememangnya adalah
suatu yang tiada dicontohkan oleh Rasulullah saw yang sewajarnya kita
tinggalkan. Maka setelah membaca Al-Fatihah dan setelah mengucapkan Amin,
teruskanlah dengan bacaan surah tanpa dimulai dengan Ta'auwwudz (A 'udzu billah
….) dan Bismillah. Bismillah itu wajib dibaca sebelum Al-Fatihah kerana
demikianlah diperoleh keterangan yang shahih daripada Rasulullah saw di mana
menurut keterangan yang lebih terang bahawa Bismillah itu dibaca dengan sir
(tersembunyi), tentang apakah Basmallah ini sebahagian daripada Al-Fatihah atau
tidak maka itu tidaklah menjadi perbahasan yang penting kerana apabila telah
ada contoh daripada Rasulullah saw bahawa beliau membacanya di awal Al-Fatihah
maka kita pun membacanya dan apabila tidak ada perintah/sunnah membacanya
(Basmallah) pada surah maka tidak perlulah kita mencari-cari alasan atau
mengqiyaskan (pada Al-Fatihah) untuk mengadakannya atau membolehkannya kerana
apa yang disunnahkan itulah yang sepatut kita lakukan.
[1] Anas
adalah seorang sahabat yang berkhidmat kepada Nabi saw sejak Nabi saw datang ke
Madinah hingga Nabi saw wafat. Bahkan Anas dibenarkan masuk ke rumah Nabi saw
sebelum turun ayat hijab, di setiap waktu dan Anas tetap menyertai Nabi saw di
kampung dan dalam safar (perjalanan). Maka tiada diperoleh keterangan daripada
Anas, seorang yang begitu rapat dengan Rasulullah saw ada meriwayatkan beliau
saw menjaharkan Basmallah. Begitu pula Anas pernah menyertai Abu Bakar, Umar
dan Usman dan pernah mengendalikan beberapa tugas negara di masa Umar. Begitu
lama Anas bersama sahabat-sahabat besar namun tiada diperoleh daripada
sahabat-sahabat besar tentang menjaharkan Basmallah.
No comments:
Post a Comment