KHUSYUK
Banyak di antara kita faham makna khusyuk dan berusaha untuk melaksanakan
di dalam ibadah solat seharian kita dan banyak jugalah yang lazimnya gagal
mencapai tahap khusyuk sebagaimana yang dikehendaki. Khusyuk itu adalah satu
urusan dalam ibadah yang sangat penting kerana tanpa khusyuk kita akan menjadi
lalai di dalam solat, di mana sifat lalai ini adalah dikecam oleh Allah
sebagaimana firman-Nya :
فَوَيْلٌ
لِّلْمُصَلِّيْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ
يُرَآءُوْنَ * وَيَمْنَعُوْنَ الْمَاعُوْنَ
“Maka celakalah bagi
orang-orang yang bersolat iaitu orang-orang yang lalai dalam solat mereka[1],
orang-orang yang berbuat riya’ dan enggan (menolong dengan) barang yang
berguna”
Surah Al-Maa’uun ayat 4-7 [107:4-7]
Maka untuk mencapai khusyuk ini, maka telah manusia mereka berbagai cara
dari golongan Syafieyah (bukan Imam As-Syafie) atau golongan yang bertaklied buta
kepada ulama ulama yang dianggap bermazhab Syafie, mereka mengadakan berbagai
muqaranah niat yang terpecah kepada beberapa bahagian yang tidak lain adalah
usaha akal yang didahulukan dari naqal (nash). Akhirnya lahirlah faham bahawa
lafaz itu membantu/menguatkan hati dan terciptalah lafaz ushalli.., nawaitu..
dan lain-lain rekaan yang semuanya dilakukan atas dasar Zhann atau sangkaan
akal bahawa ianya satu kebaikan. Sesungguhnya Zhann atau sangkaan yang demikian
itu di atas urusan Syariat adalah perbuatan yang tidak mendatangkan kebaikan
walau sedikit pun. Firman Allah :
وَمَا يَتَّبِعُ
أَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
“Dan kebanyakan mereka tidak
mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya zhan (sangkaan) itu,
tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.”
Surah Yunus ayat 36 [10:36 ]
Untuk mencapai tahap khusyuk hendaklah kita melakukannya menurut apa yang
disunnahkan oleh Rasulullah saw. kerana telah ada hadits yang terang di dalam
bab solat bahawa kita perlu menurut apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah
saw. sebagaimana sabdanya :
صَلُّوْا كَمَا
رَاَيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّيْ
“Hendaklah kamu bersolat sebagaimana kamu
melihat aku mengerjakan solat.”
Riwayat Bukhari dan Ahmad.
Dalil Zhann atau menimbulkan sangkaan itu baik ini baik/hasanah atau ada
bid’ah hasanah adalah satu faham yang amat bahaya kepada ibadah seorang muslim,
ini ditegaskan oleh Imam Malik, katanya :
مَنِ
ابْتَدَعَ فِي الاِسْلاَمِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً فَقَدْ زَعَمَ اَنَّ
مُحَمَّدًا ص خَانَ الرِّسَالَةَ لاَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ {اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ
وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الاِسْلاَمَ دِيْنًا} فَمَا
لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُونُ الْيَوْمُ دِيْنًا
Barangsiapa mengada-adakan di dalam Islam suatu bid’ah
yang dia melihatnya sebagai suatu kebaikan maka sesungguhnya dia telah menuduh
bahawa Muhammad saw mengkhianati risalah kerana Allah Taala telah berfirman
(yang maksudnya): “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan
telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama
bagimu”. Maka sesuatu yang tidak menjadi agama pada hari itu tidak menjadi
agama pula pada hari ini.
Maka amalan seperti melafazkan niat (ushalli.., nawaitu..) dan muqaranah
niat itu semua adalah amalan yang lahir dari dasar Zhann/sangkaan dan ianya
adalah bid’ah dhalalah/sesat bukannya bid’ah hasanah dan tidak ada sebarang
bid’ah di dalam urusan agama melainkan semuanya adalah dhalalah sesat. Sabda
Rasulullah saw.:
مَا تَرَكْتُ شَيْئًا
مِمَّا اَمَرَكُمُ اللهُ بِهِ اِلاَّ وَقَدْ اَمَرْتُكُمْ بِهِ وَلاَ تَرَكْتُ
شَيْئًا مِمَّا نَهَاكُمْ عَنْهُ اِلاَّ وَقَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ
“Aku tidak meninggalkan sesuatu dari apa apa yang telah di perintahkan
Allah kepada kamu dengannya melainkan sungguh aku telah perintahkan kamu
dengannya, dan aku tidak tinggalkan sesuatu dari apa apa yang telah di larang
kamu darinya oleh Allah melainkan akau telah melarang kamu darinya.”
Riwayat Ibnu Abdil-Barri dan Baihaqi.
Abdullah bin Umar berkata :
كُلُّ بِدْعَةٍ
ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةً
“Semua bid’ah adalah sesat walaupun manusia memandangnya baik.”
Hendaklah kita mengambil dalil yang sah dalam pengamalan ibadah kita bersih
dari sangkaan akal dan tidak atas dasar taklied kepada para ulama. Demikian
juga dalam urusan khusyuk di dalam solat hendaklah kita mengambil dalil dari
sunnah Rasulullah saw. iaitu dari hadits yang sah untuk dibuat dalil. Khusyuk
itu berkehendakkan ikhlas di dalam kita mengabdikan diri kepada Allah
sebagaimana firman-Nya :
وَمَا اُمِرُوْا
اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ حُنَفَآءَ وَيُقِيْمُوْا
الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوْا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِيْنُ الْقَيِّمَةِ
“Dan mereka tidak diperintahkan kecuali supaya
menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama)
dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan yang
demikian itulah agama yang lurus.”
Surah Al-Bayyinah ayat 5 [98:5]
Selain dari kita perlu kepada keikhlasan di dalam solat untuk mendapatkan
khusyuk, seorang yang melakukan ibadah solat hendaklah memiliki Ihsan. Dalil
tentang Ihsan ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah saw. yang berbunyi :
الاِحْسَانُ اَنْ
تَعْبُدَ اللهَ كَاَنَّكَ تَرَاهُ فَاِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ
“Ihsan itu adalah engkau menyembah
Allah seakan akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya maka
sesungguhnya Ia melihat engkau.”
Riwayat Bukhari dan Muslim.
Ibadat yang dilakukan sambil lewa atau seperti melepaskan batuk di tangga
dengan mematuk-matuk di dalam rukuk dan sujudnya sehingga nampak tergesa-gesa
(tidak ada thuma'ninah) tidak akan mendapat apa-apa daripada Allah. Maka supaya
amalan diterima Allah hendaklah ia lakukan dengan cara yang sebaiknya dari segi
lahiriah dan batiniahnya. Inilah di antara cara untuk mendatangkan khusyuk di
dalam ibadah solat. Firman Allah :
وَالَّذِيْنَ
يُؤْتُوْنَ مَآ ءَاتَواْ وَقُلُوْبُهُمْ وَجِلَةٌ اَنَّهُمْ اِلَى رَبِّهِمْ
رَاجِعُوْنَ * اُولَئِكَ يُسَارِعُوْنَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُوْنَ
“Dan orang-orang yang memberikan apa
yang mereka berikan sedangkan hati-hati mereka dalam ketakutan, takut akan
ditolak amalan mereka (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan
kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan
dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.”
Surah Al-Mukminun ayat 60-61 [23:60-61]
Betapa pentingnya kita menjaga khusyuk di dalam solat agar solat itu tidak
menjadi amalan yang sia-sia baik yang berupa wajib mahupun yang sunnat kerana
inilah sifat sebagai seorang yang beriman yang benar-benar mengharapkan
keredhaan Allah di dalam ibadahnya bukan melaksanakan ibadah sekadar melepas
tanggungjawab lalu dibuat ala kadar atau pada kata orang sekarang asalkan buat sudah
! Firman Allah :
اِنَّ الَّذِيْنَ
ءَامَنُوْا وَعَمِلُوْا الصَّالِحَاتِ وَأَخْبَتُوْا اِلَى رَبِّهِمْ اُولَئِكَ
اَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ
“Sesungguhnya orang orang yang
beriman dan mengerjakan amalan amalan soleh dan khusyuk kepada Tuhan mereka,
mereka itulah penghuni penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”
Surah Huud ayat 23 [11:23 ]
Tanamkan rasa takut
jika amalan kita ditolak dengan menjaga baik dari segi bacaan di dalam solat
ataupun gerak hati yang lalai dan jagalah sifat/perbuatan solat itu agar
dilakukan dengan tertib serta berthuma’ninah (ada perhentian/berdiam) yang
lahir padanya Ihsan iaitu kita menyembah Allah seakan-akan kita melihatnya dan
menyakini Allah melihat amalan kita, Dia mengetahui apa yang tersirat di hati
kita dan Dia mendengar ucapan yang kita tuturkan. Allah menjelaskan tentang
kepentingan khusyuk ini di beberapa tempat di dalam Al-Quran dan firman-Nya
lagi :
حَافِظُوْا عَلَى
الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُوْمُوْا للهِ قَانِتِيْنَ
“Peliharalah oleh kamu benar benar
akan segala solat dan solat Wusta dan berdiri tegaklah untuk Allah dalam
keadaan tetap khusyuk kepada-Nya.”
Surah Al-Baqarah ayat 238 [2:238]
Jagalah rukuk dan sujud kita agar ianya menjadi rukuk yang berthuma’ninah
iaitu yang benar-benar rukuk dan sujud itu kerana mengharapkan keredhaan Allah,
bukan sekadar pelepas sifat solat. Ini sangat ditekankan oleh Rasulullah saw.
sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Amru bin ‘Ash, Khalid bin Al-Walid,
Syurahbil bin Hasanah dan Yazid bin Abu Sufian meriwayatkan :
رَأَى رَسُوْلُ الله
ص رَجُلاً لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهُ وَيَنْقُرْ فِيْ سُجُوْدِهِ وَهُوَ يُصَلِّيْ
فَقَالَ: لَوْ مَاتَ هَذَا عَلَى حَالِهِ هَذِهِ مَاتَ عَلَى غَيْرِ مِلَّةِ
مُحَمَّدٍ يَنْقُرُ صَلاَتَهُ كَمَا يَنْقُرُ الْغُرَابُ الدَّمَ! مَثَلُ الَّذِيْ
لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهُ وَيَنْقُرْ فِيْ سُجُوْدِهِ مَثَلُ الْجَائِعِ الَّذِيْ
يَأْكُلُ التَّمْرَةَ وَالتَّمْرَتَيْنِ لاَ يُغْنِيَانِ عَنْهُ شَيْئًا
Rasulullah saw. melihat seorang laki laki yang tidak menyempurnakan
rukuknya dan ia memagut dalam sujudnya dalam solatnya, maka beliau bersabda :
Jika orang ini mati dalam keadaannya seperti ini, matilah dia di atas agama
yang bukan agama Muhammad, ia memagut dalam solatnya sebagaimana burung gagak
memagut darah ! Bandingan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan ia
memagut magut dalam sujudnya adalah bagaikan orang lapar yang memakan sebiji
dua biji buah tamar tentulah tidak mengenyangkannya.”
Riwayat Al-Ajuri, Al-Bahaiqi, Ath-Thabaranie dan Ibnu Khuzaimah.
Lakukanlah rukuk dan sujud itu menurut cara yang telah disunnahkan oleh
Rasulullah saw., jangan tergesa-gesa, bacalah dengan cara yang bersopan dan
beradab kerana Allah mendengar bacaan kita dan kita bertasbih kepada Rabb Yang
Maha Agung. Sabda Rasulullah saw.:
اِذَا قُمْتَ اِلَى
الصَّلاَةِ فَاَسْبِغِ الْوُضُوْءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
وَاقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ
رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ رَأْسَكَ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى
تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِىَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا
ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِىَ
قَائِمًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِيْ صَلاَتِكَ كُلِّهَا
“Apabila engkau hendak mengerjakan solat hendaklah engkau sempurnakan
wudhuk, kemudian hendaklah engkau mengadap kiblat dan bertakbir. Kemudian
bacalah yang mudah dari ayat ayat Al-Quran, kemudian hendaklah engkau rukuk
sampai engkau bertama’ninah, kemudian angkatlah kepalamu sehingga sehingga
engkau berdiri lurus kembali, kemudian hendaklah engkau sujud sampai engkau
tama’ninah dalam sujud, kemudian hendaklah engkau bangkit sampai engkau duduk
lurus dengan tama’ninah, kemudian hendaklah engkau sujud sampai engkau
tama’ninah di dalam sujud, kemudian engkau bangkit sampai engkau lurus dengan
tama’ninah, kemudian lakukanlah yang demikian itu dalam semua solatmu.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.
Demikianlah sunnah Rasulullah saw. di dalam menyempurnakan solat, menjaga
bacaan, hati dan sifat perbuatan di dalam solat agar secucuk dengan sunnah
Rasulullah saw. adalah termasuk di dalam menjaga khusyuk. Maka dari dalil-dalil
di atas ulama menerangkan bahawa khusyuk itu adalah :
الاِخْبَاتُ
وَتَطَامُنُ الْقَلْبِ وَالْجَوَارِحِ للهِ تَعَالَى
‘Tunduk dan tawadhu' serta ketenangan hati dan
segala anggota kepada Allah Ta’ala’
Firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 16 [57:16]
أَلَمْ يَأْنِ
لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَمَا نَزَلَ
مِنَ الْحَقِّ ....
Belumkah datang
waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah
dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) ……
Mudah-mudahan kita dapat melakukan solat kita dengan khusyuk dan jauhilah
sifat lalai sambil lewa dalam menunaikan apa jua ibadah semoga kita menjadi
seorang yang benar-benar mukmin iaitu yang beroleh kejayaan. Sesungguhnya
Alllah telah mengaitkan kejayaan orang yang beriman itu dengan khusyuk dalam
solat. Ini dijelaskan Allah dengan firmanNya :
قَدْ اَفْلَحَ
الْمُؤْمِنُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلاَتِهِمْ خَاشِعُوْنَ
“Sesungguhnya telah beroleh
kejayaan orang orang mukmin yang khusyuk dalam solat mereka.”
Surah Al-Mukminun ayat 1-2 [23:1-2]
عَنْ اُبَيِّ بْنِ
كَعْبٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ يُقْبَلُ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً حَتَّى
يَشْهَدَ قَلْبُهُ مَعَ بَدَنِهِ
Daripada Ubay
bin Ka'ab ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Tidak diterima barangsiapa
yang melakukan sesuatu amalan sehingga hatinya menyaksikan (hadir) bersama
badannya
Riwayat Abu Syuja'
Ad-Dailami
Sememangnya bukan
sesuatu yang mudah untuk kita khusyuk dalam solat namun berusahalah
bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang terbaik untuk kita khusyuk dalam
solat. Tolaklah segala jenis ingatan, fikiran dan lintasan terhadap
urusan-urusan keduniaan yang melalaikan kita dari solat dan berusahalah
tumpukan hati dan jasad kita untuk tunduk, sujud dan memuji Allah. Para ulama berpandangan bahawa lintasan-lintasan hati
yang sedikit tidaklah merosakkan rosak. Ini berdalilkan riwayat daripada Abu
Hurairah:
عَنْ اَبِى
هُرَيْرَةَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: اِذَا نُوْدِيَ بِالصَّلاَةِ
اَدْبَرَ الشَّيْطَانُ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ الآذَانَ فَاِذَا قُضِيَ
الآذَانُ اَقْبَلَ فَاِذَا ثُوِّبَ بِهَا اَدْبَرَ فَاِذَا قُضِيَ التَّثْوِيْبُ
اَقْبَلَ حَتَّى يَخْطُرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُوْلُ اُذْكُرْ كَذَا
اُذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرْ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ لاَ يَدْرِى
كَمْ صَلَّى فَاِذَا لَمْ يَدْرِ اَحَدُكُمْ صَلَّى اَثَلاَثًا صَلَّى اَوْ
اَرْبَعًا فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ
Daripada Abu
Hurairah ia berkata: Bahawa Nabi saw bersabda: Apabila azan dikumandangkan,
larilah syaitan sambil terkentut-kentut sehingga ia tidak dapat mendengarnya
(azan). Setelah selesai dikumandangkan, syaitan datang lagi. Apabila dibacakan
iqamat, syaitan lari pula. Setelah iqamat selesai, ia datang lagi untuk
mewas-waskan manusia. Ia mengatakan: 'Ingatlah itu, ingatlah ini, bagi segala
yang tidak teringat' sehingga bergelumanglah orang itu dalam ingatannya dan
lalu ia tidak mengetahui berapa rakaat sudah ia kerjakan. Kerana itu, apabila
seseorang kamu tiada mengetahui apakah tiga rakaat sudah dikerjakan atau empat
rakaat, hendaklah ia bersujud dua kali sedang ia (dalam keadaan duduk)
Bukhari dan Muslim
عَنْ عُثْمَانَ بْنِ
اَبِى الْعَاصِ اَتَى النَّبِيَّ ص فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ الله اِنَّ الشَّيْطَانَ
قَدْ حَالَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ صَلاَتِيْ وَقِرَاءَتِيْ يَلْبَسُهَا عَلَيَّ
فَقَالَ رَسُوْلُ الله ص ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزَبٌ فَاِذَا
اَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ وَاتْفُلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا
قَالَ فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَاَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّيْ
Daripada Usman
bin Abil 'Ash (ia) datang kepada Nabi saw maka ia berkata: Wahai Rasulullah
saw, aku sering diganggu syaitan dalam solat sehingga bacaanku menjadi
kacau kerananya. Maka bersabda
Rasulullah saw: Itulah syaitan yang dipanggil (dinamakan) Khinzab. Maka apabila
engkau diganggunya maka pohonlah perlindungan Allah daripadanya dan ludah ke
kirimu tiga kali. Usman berkata: Aku melakukan yang demikian maka Allah
menghilangkannya dariku
Shahih riwayat
Muslim
Abu Daud, An-Nasaie dan Ibnu Hibban meriwayatkan dari 'Ammar bin Yasir ia
berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:
اِنَّ الرَّجُلَ
لَيَنْصَرِفَ وَمَا كُتِبَ لَهُ اِلاَّ عُشْرُ صَلاَتِهِ تُسْعُهَا ثُمُنُهَا
سُبُعُهَا سُدُسُهَا خُمُسُهَا رُبُعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا
Sesungguhnya
seseorang yang berpaling (selesai solat) tiadalah ditulis baginya melainkan
sepersepuluhnya, sepersembilannya, seperlapannya, sepertujuhnya, seperenamnya,
seperlimanya, seperempatnya, sepertiganya dan separuhnya.
[1] Lalai pada solatnya iaitu sama ada ia melalaikan
pada waktu solat tersebut atau ia melalaikan dari segi perlaksanaan solat
tersebut, tanpa khusyuk, tidak dikerjakan solat itu sebagaimana diperintahkan
syara'. Demikian ini merupakan perlakuan golongan munafiq.
عَنْ
اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: تِلْكَ صَلاَةُ الْمُنَافِقِ،
يَجْلِسُ يَرْقُبُ الشَّمْسَ حَتَّى اِذَا كَانَتْ بَيْنَ قَرْنَيِ الشَّيْطَانِ
قَامَ فَنَقَرَهَا اَرْبَعًا لاَ يَذْكُرُ اللهَ اِلاَّ قَلِيْلاً
Dari Anas bin
Malik r.a. berkata : “Rasulullah saw. bersabda : Inilah macam solat orang
munafik. Dia duduk mengintai-intai matahari. Hingga apabila matahari telah
berada antara dua tanduk syaitan, barulah ia tergesa-gesa, mematuk-matuk empat
rakaat solat. Mereka tidak mau mengingati Allah kecuali sedikit saja.”
Hadits shahih riwayat Muslim
disebut dalam Kitabul-Masajid
No comments:
Post a Comment