Wednesday, June 18, 2014

Sifat Solat Nabi: Membaca Al-Fatihah (11)


Membaca Al-Fatihah
Membaca surah Al-Fatihah di dalam solat (baik solat fardhu atau sunat) dipandang  suatu fardhu dari fardhu-fardhu solat yakni suatu rukun solat dan hendaklah ianya dibaca pada tiap-tiap rakaat solat. Demikian pegangan jumhur ulama. Kita lihat dalil-dalil berkaitan bab ini.

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ صَلاَةَ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Daripada Ubadah bin Shamit ia berkata: Bahawa telah bersabda Nabi saw: Tidak ada solat bagi mereka yang tidak membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di dalamnya
Riwayat Al-Jamaah

عَنْ عُبَادَةَ بْنِ الصَّامِتِ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ تُجْزَى صَلاَةٌ لِمَنْ لَمْ يَقْرَأْ بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ
Daripada Ubadah bin Shamit ia berkata: Bahawa telah bersabda Nabi saw: Tidak diberi ganjaran (sah) solat bagi orang yang tidak membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di dalamnya
Riwayat Ad-Daruquthni. Sanad hadits ini shahih.

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ: مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيْهَا بِاُمِّ الْقُرْآنِ فَهِيَ خِدَاجٌ
Daripada Aisyah ia berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda: Barangsiapa yang bersolat sedang dia tidak membaca di dalamnya (solat) dengan Ummul Kitab (Al-Fatihah) maka solatnya khidaj[1]
Riwayat Ahmad dan Ibnu Majah[2].

Demikian antara keterangan-keterangan tentang wajibnya Al-Fatihah itu dibaca dalam solat. Adapun dalil bahawa Al-Fatihah itu wajib dibaca pada tiap-tiap rakaat maka ianya juga beralasankan kepada hadits-hadits yang telah dibawakan di atas di mana telah bersabda Rasulullah saw: Tidak ada solat bagi mereka yang tidak membaca Fatihatul KItab (Surah Al-Fatihah) di dalamnya. – Bahawa perkataan solat itu mencakup keseluruhan rakaatnya dan jika kita kembali kepada hadits musi'i solat (orang yang rosak solat):
ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِيْ صَلاَتِكَ كُلِّهَا
Kemudian lakukanlah sedemikian pada solatmu setiapnya (pada rakaat berikutnya)
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Rasulullah saw memerintahkan kepadanya perkara-perkara yang oleh ulama dipandang sebagai rukun dalam solat yang perlu dititikberat perlaksanaannya dalam solat, maka dari keterangan-keterangan hadits, Al-Fatihah itu dipandang sebagai satu kefardhuan maka wajiblah ia dibaca pada tiap-tiap rakaat. Demikian hujjah yang dibawakan oleh jumhur ulama.

Sesungguhnya Al-Fatihah itu dipandang suatu rukun dalam solat di mana jika seseorang itu bersolat tanpa membaca Al-Fatihah maka tidak dinamakan dia telah bersolat. Demikian juga sekiranya seseorang itu bersolat dan dia membaca Al-Fatihah akan tetapi Al-Fatihahnya rosak (dibaca sehingga mengubah maknanya) maka solatnya itu batal kerana dia belum membaca Al-Fatihah. Adalah amat penting seorang muslim itu belajar dan membaca Al-Fatihah itu dengan betul sebutan bacaannya agar maksudnya tidak berubah.

عَنْ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَبِى الْعَلاَءِ قَالَ: قَالَ اَبُوْ هُرَيْرَةَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: مَنْ صَلَّى صَلاَةً لَمْ يَقْرَأْ فِيْهَا بِفَاتِحَةِ الْكِتَابِ فَهِيَ خِدَاجٌ يَقُوْلُهَا ثَلاَثًا. فَقِيْلَ لأَبِيْ هُرَيْرَةَ اِنَّا نَكُوْنَ وَرَاءَ الاِمَامَ؟ فَقَالَ: اِقْرَأْ بِهَا فِيْ نَفْسِكَ فَاِنِّيْ سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ: قَالَ الله عَزَّ وَجَلَّ: قَسَّمْتُ الصَّلاَةَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ نِصْفَيْنِ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ. فَاِذَا قَالَ الْعَبْدُ اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ قَالَ اللهُ حَمِدَنِيْ عَبْدِيْ فَاِذَا قَالَ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ قَالَ اللهُ اَثْنَى عَلَيَّ عَبْدِيْ فَاِذَا قَالَ مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ قَالَ مَجَّدَنِيْ عَبْدِيْ وَقَالَ مَرَّةً فَوَّضَ اِلَيَّ عَبْدِيْ وَاِذَا قَالَ اِيَّاكَ نَعْبُدُ وَاِيَّاكَ نَسْتَعِيْنُ قَالَ هَذَا بَيْنِيْ وَبَيْنَ عَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ فَاِذَا قَالَ اِهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيْمَ. صِرَاطَ الَّذِيْنَ اَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ قَالَ هَذَا لِعَبْدِيْ وَلِعَبْدِيْ مَا سَأَلَ
Daripada Abdur Rahman Abil 'Ala ia berkata: Abu Hurairah berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Barangsiapa mengerjakan solat yang tidak dibacakan Al-Fatihah di dalamnya maka solatnya itu putus. Nabi saw mengatakan demikian tiga kali. Ditanya kepada Abu Hurairah: Bagaimana kalau kami solat di belakang imam? Abu Hurairah menjawab: Bacalah dalam dirimu kerana aku mendengar Rasulullah saw bersabda (bahawa) Allah berfirman: Aku telah membahagi solat (Al-Fatihah) antaraKu dan hambaKu dua bahagian dan untuk hambaKu apa yang mereka pohonkan. Apabila hambaKu ucapkan Alhamdulillah robbil 'alamiin (Segala puji bagi Allah Tuhan sekalian alam), Allah berfirman: HambaKu telah memujiKu. Apabila ia mengucapkan Ar-Rahmaanir Rahiim (Yang Maha Pemurah Maha Penyayang), Allah berfirman: HambaKu menyanjungKu. Apabila ia mengucapkan Maaliki yaumiddin (Yang Memiliki hari pembalasan), Allah berfirman: HambaKu memuliakanKu. Apabila ia ucapkan Iyyaka na'budu wa iyyaka nastai'in (Hanya Engkau yang aku sembah dan hanya padaMu aku pohon pertolongan), Allah berfirman: Inilah yang terletak antaraKu dan hambaKu dan bagi hambaKu apa yang ia pinta. Apabila ia ucapkan Ihdinash shiraathal mustaqiim, Shiraathal ladziina an'amta 'alaihim ghoiril maghdhuubi 'alaihim waladh dhaalliin (Tunjukkan kami jalan yang lurus iaitu jalan orang-orang yang Engkau beri nikmat kepada mereka bukan jalan orang yang Engkau murkai dan bukan jalan orang yang sesat), Allah berfirman: Ini untuk hambaKu dan untuk hambaKu apa yang ia pinta.
Riwayat Jamaah selain Bukhari dan Ibnu Majah

Solat bagi orang yang belum menghafal Al-Fatihah
Adapun bagi orang Islam yang belum menghafal Al-Fatihah, maka hendaklah dia solat dengan membaca apa-apa yang dihafalnya dari ayat Al-Quran. Jika tiada dihafalnya walau sedikit dari ayat-ayat Al-Quran maka hendaklah dia bertahmid, bertakbir, bertahlil kemudiannya barulah dia ruku'. Ini beralasankan hadits Rifa'ah bin Rafi':

عَنْ رِفَاعَةَ بْنِ رَافِعٍ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص عَلَّمَ رَجُلاً الصَّلاَةَ فَقَالَ: اِنْ كَانَ مَعَكَ قُرْآنٌ فَاقْرَأْهُ وَاِنْ لاَ فَاحْمِدِ اللهَ وَكَبِّرْهُ وَهَلِّلْهُ ثُمَّ ارْكَعْ
Daripada Rifa'ah bin Rafi' ia berkata: Bahawa Rasulullah saw mengajarkan solat kepada seorang lelaki maka beliau saw bersabda: Jika engkau ada menghafal beberapa ayat Al-Quran maka bacalah ia. Jika tidak, pujilah Allah dan bertakbirlah serta bertahlil. Sesudah itu barulah engkau ruku'.
Riwayat Abu Daud dan Tirmidzi[3].

Hadits seterusnya:

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ اَبِى اَوْفَى قَالَ: جَاءَ رَجُلٌ اِلَى النَّبِيِّ ص فَقَالَ: اِنِّيْ لاَ اَسْتَطِيْعُ اَنْ آخُذَ مِنَ الْقُرْآنِ شَيْئًا فَعَلِّمْنِيْ مَا يُجْزِئُنِيْ. قَالَ: قُلْ سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ للهِ وَلاَ اِلَهَ اِلاَّ اللهُ وَاللهُ اَكْبَرُ وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ اِلاَّ بِاللهِ
Daripada Abdullah bin Abi Aufa ia berkata: Seorang lelaki datang kepada Rasulullah saw lalu berkata: Sesungguhnya aku tidak mampu untuk menghafal walau sedikit dari ayat Al-Quran maka ajarkanlah aku sesuatu yang dapat mengganjarkan aku (menggantikan ayat Al-Quran). Bersabda Nabi saw: Ucapkanlah Subhanallah walhamdulillah wala ilaaha illallah wallahu akbar wala haula wala quwwata illa billah (bermaksud) Maha suci Allah dan pujian bagi Allah dan tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah dan Allah Maha Besar dan tiada usaha dan kekuatan melainkan dengan Allah
Riwayat Ahmad, Abu Daud, An-Nasaie dan Ad-Daruquthni

Bagi orang yang belum menghafal Al-Fatihah, hendaklah ia membaca dalam solatnya apa-apa dari ayat Al-Quran yang dihafalnya. Jika dia tidak menghafal walau sedikit dari ayat Al-Quran maka kemudiannya barulah dibenarkan ia membaca tasbih, tahmid, tahlil sebagaimana tersebut dalam hadits di atas.

Kedua-dua hadits di atas bukan bermaksud bahawa orang yang belum atau tidak menghafal Al-Fatihah maka cukup ia membaca bacaan-bacaan di atas untuk selamanya akan tetapi ia menerangkan selama seseorang itu masih belum menghafal Al-Fatihah maka boleh ia membaca sedikit dari ayat Al-Quran atau zikir-zikir di atas dalam solatnya dan hendaklah pada masa yang sama ia mempelajari dan menghafal Al-Fatihah kerana itulah kewajipan yang mesti dibaca dalam solat. Setelah ia menghafal Al-Fatihah, maka wajib ia membaca Al-Fatihah dan meninggalkan kaedah tersebut di atas


[1] Berkata Al-Khatthabi dalam Ma'alimus Sunan: "Dimaksudkan dengan khidaj dalam hadits ini ialah tidak sah." Bukhari dalam kitabnya Juzul Qiraah menyebut: "Dimaksudkan dengan khidaj ialah keluar dari perut ibunya dalam keadaan mati tidak bernyawa (keguguran).
[2] Dalam sanad hadits ini terdapat seorang perawi yang diragukan iaitu Muhammad bin Ishaq akan tetapi hadits ini dikuatkan shahihnya dengan hadits di atas.
[3] Hadits ini adalah suatu bahagian dari hadits musi'i solat (orang yang rosak solatnya). Diterangkan oleh Al-Mundziri bahawa hadits ini diriwayatkan juga oleh An-Nasaie. Menurut Tirmidzi hadits ini hasan.

Sifat Solat Nabi: Membaca Basmallah (10)


Membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah
Membaca Bismillah sebelum membaca Al-Fatihah baik di rakaat pertama mahupun pada rakaat-rakaat lainnya sememangnya ada dalil yang dapat disandarkan kepada  Rasulullah di mana bacaan Bismillah sebelum Fatihah ini ada yang menerangkan tentang dijaharkan dan ada yang menerangkan tentang disirkan bacaannya, akan tetapi yang dipandang lebih kuat adalah disirkan bacaannya, demikian menurut hadits-hadits yang terang shahih lagi sharih dalam bab ini serta pengamalan sahabat. Kita renungkan keterangan-keterangan dalam bab ini.

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ اَبِى مُلَيْكَةَ قَالَ: اِنَّ اُمَّ سَلَمَةَ سُئِلَتْ عَنْ قِرَاءَةِ رَسُوْلِ الله ص فَقَالَتْ: كَانَ يُقَطِّعُ قِرَاءَتَهُ آيَةً آيَةً بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. اَلْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ. الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ. مَالِكِ يَوْمِ الدِّيْنِ.
Daripada Abdullah bin Abi Mulaikah ia berkata: Bahawa Ummu Salamah ditanya tentang bacaan Rasulullah saw maka ia berkata: Adalah beliau saw memutuskan bacaannya satu ayat satu ayat (beliau membaca satu ayat satu ayat), Bismillahir rahmanir rahim…. Alhamdulillahi robbil 'alamin ……. ArrahmaanirRahiim …….Maaliki yaumiddiin.
Riwayat Ahmad dan Abu Daud. Menurut Al-Mundziri hadits ini juga diriwayatkan oleh At-Tirmidzi dan An-Nasaie di mana At-Tirmidzi mengatakan hadits ini hasan shahih.

عَنْ نُعَيْمِ الْمُجَمِّرِ قَالَ: صَلَّيْتُ وَرَاءَ اَبِى هُرَيْرَةَ فَقَرَأَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ ثُمَّ قَرَأَ بِاُمِّ الْقُرْآنِ وَيَقُوْلُ اِذَا سَلَّمَ وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ اِنِّيْ لأَشْبَهُكُمْ صَلاَةً بِرَسُوْلِ الله ص
Daripada Nu'aim Al-Mujammir ia berkata: Aku telah solat di belakang Abu Hurairah maka dia membaca Bismillahir rahmaanir rahiim kemudian dia membaca Ummul Kitab (Fatihah) dan setelah dia mengucapkan salam dia berkata: Demi Allah yang jiwaku di tanganNya, sesungguhnya aku adalah orang yang paling hampir solatnya dengan solat Rasulullah saw daripada kamu sekalian
Riwayat An-Nasaie dan Ibnu Khuzaimah. Berkata Al-Baihaqi: Hadits ini shahih sanadnya. Berkata Abu Bakar Al-Khatib: Hadits ini shahih

Kedua-dua hadits di atas merupakan alasan yang dipegang oleh segolongan ulama bahawa bacaan Basmallah itu dijaharkan bacaannya. Kita lihat keterangan lainnya:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: صَلَّيْتُ مَعَ النَّبِيِّ ص وَاَبِى بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَلَمْ اَسْمَعْ اَحَدًا مِنْهُمْ يَقْرَأُ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Aku pernah solat bersama Nabi saw, Abu Bakar, Umar dan Usman maka aku tidak mendengar seorang pun dari mereka membaca Bismillahir rahmaanir rahiim
Riwayat Ahmad dan An-Nasaie. Hadits ini sanadnya menurut syarat hadits shahih.

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكَانُوْا يَسْتَفْتِحُوْنَ بِالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ لاَ يَذْكُرُوْنَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ فِي اَوَّلِ قِرَاءَةٍ وَلاَ فِي آخِرِهَا
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Aku pernah solat di belakang Nabi saw, di belakang Abu Bakar, Umar dan Usman maka adalah mereka memulai bacaan dengan Alhamdulillahi robbil 'alamin, mereka tiada menyebut Bismillahir rahmaanir rahiim pada awal bacaan (Al-Fatihah) dan tidak pula pada akhir bacaan (ketika membaca surah)
Hadits shahih riwayat Muslim

Jika kita lihat pada dua hadits di atas, zahirnya menunjukkan seolah-olah Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Usman tidak membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah. Sebelum kita membuat sebarang keputusan dalam bab ini, perlu terlebih dahulu kita kumpulkan kesekian dalil yang ada lalu kemudiannya barulah kita rumuskan pegangan yang akan diambil.

Hadits daripada Abdullah bin Mulaikah dan Nu'aim Al-Mujammir menunjukkan bahawa Rasulullah ada membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah. Adapun maksud zahir hadits daripada Anas menerangkan bahawa seolah-olah Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Usman tidak membaca Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah. Jika kita teliti hadits Anas di atas, ia tidak menafikan tentang adanya bacaan Basmallah akan tetapi ianya menceritakan bahawa Rasulullah saw, Abu Bakar, Umar dan Usman memulakan bacaan dengan Alhamdulillahi robbil 'alamiin di mana dalam riwayat lainnya menerangkan bahawa Basmallah itu disirkan bacaannya.

وَفِيْ رِوَايَةٍ لأَحْمَدَ وَالنَّسَائِي وَابْنِ خُزَيْمَةَ: لاَ يَجْهَرُوْنَ بِبِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ
Dalam riwayat Ahmad, Nasaie dan Ibnu Majah: Mereka tidak menyaringkan bismillahirrahmanirrahim

Dalam permasalahan apakah Basmallah itu dijaharkan atau disirkan bacaannya, setelah dikumpulkan kesekian hadits yang berhubung masalah ini, para ulama menyimpulkan bahawa Nabi saw biasa menjaharkan bacaan Basmallah dan biasa mensirkan bacaan Basmallah akan tetapi mensirkan Basmallah itu lebih banyak dilakukan Rasulullah saw di mana dengan mengambil petunjuk daripada pengamalan sahabat, ulama menyatakan bahawa pernah mula-mulanya Rasulullah saw menjaharkan Basmallah akan tetapi kemudiannya disirkan. Ini berpedomankan riwayat daripada Anas[1] bahawa ia pernah bersolat di belakang Nabi saw, pernah bersolat di belakang Abu Bakar, pernah bersolat di belakang Umar dan Usman sedang para sahabat besar ini tiada menjaharkan Basmallah.

Membaca Basmallah sebelum membaca surah

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ صَلَّيْتُ خَلْفَ النَّبِيِّ ص وَاَبِيْ بَكْرٍ وَعُمَرَ وَعُثْمَانَ فَكَانُوْا يَسْتَفْتِحُوْنَ بِالْحَمْدُ للهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ لاَ يَذْكُرُوْنَ بِسْمِ اللهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيْمِ فِي اَوَّلِ قِرَاءَةٍ وَلاَ فِي آخِرِهَا
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Aku pernah solat di belakang Nabi saw, di belakang Abu Bakar, Umar dan Usman maka adalah mereka memulai bacaan dengan Alhamdulillahi robbil 'alamin, mereka tiada menyebut Bismillahir rahmaanir rahiim pada awal bacaan (Al-Fatihah) dan tidak pula pada akhir bacaan (ketika membaca surah)
Hadits shahih riwayat Muslim

Zahir hadits di atas menunjukkan Rasulullah saw tiada menyebut Basmallah sebelum membaca Al-Fatihah dan selepasnya namun dari hadits-hadits lainnya telah diperincikan bahawa bukanlah Rasulullah saw tidak membaca Basmallah sebelum Al-Fatihah tetapi dibaca secara sir akan tetapi dalam bab membaca Basmallah sebelum membaca surah maka yang demikian ini langsung tiada diperoleh keterangan daripada Rasulullah saw baik beliau membacanya secara sir atau jahar.

Tiada diperoleh keterangan yang shahih atau hasan daripada Rasulullah saw bahawa beliau saw membaca Basmallah sebelum membaca surah dan tiada juga diperoleh keterangan bahawa ianya diamalkan oleh para sahabat malah perkara ini tiada dibincangkan oleh para ulama ahli hadits dan ulama fiqh dalam kitab-kitab mereka. Kebanyakan umat Islam yang membaca Basmallah sebelum membaca surah adalah semata-mata berdasarkan sangkaan sedang dari segi keterangan, tiada diperoleh tentangnya daripada Rasulullah saw mahupun para sahabat.

Amalan membaca Basmallah sebelum membaca surah ini mestilah ditinggalkan kerana ianya tiada contoh daripada Rasulullah saw dan sekiranya ia dilakukan, maka ini termasuk perkara yang diada-adakan dalam urusan agama yang disebut sebagai bid'ah di mana ianya satu kesesatan. Janganlah dinilaikan amalan ini dari sudut logika baik atau buruknya tetapi nilaikanlah berdasarkan perintah Rasul saw:
صَلُّوْا كَمَا رَاَيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّى
Solatlah kamu sebagaimana kamu melihat aku solat
Riwayat Bukhari dan Ahmad

Urusan solat adalah urusan agama yang ada padanya perintah dan perincian yang khusus daripada syara'. Apabila sesuatu amalan itu tiada dicontohkan oleh Rasulullah saw dalam urusan agama maka yang demikian itu tidak boleh kita kerjakan. Sesungguhnya syariat Islam itu tidak berdiri berdasarkan sangkaan tetapi ianya berlandaskan dalil yang terang daripada Allah dan RasulNya.

Kesimpulan darihal ta'awwudz dan basmallah
Dengan keterangan-keterangan hadits yang telah dibawakan, dapat disimpulkan sebagai berikut:
-   Ta'awwudz hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir iftitah sebelum membaca Basmallah
-   Ta'awwudz tidak dibaca pada rakaat kedua, ketiga dan keempat dan tidak dibaca sebelum membaca surah (selepas Al-Fatihah)
-   Basmallah dibaca sebelum membaca Al-Fatihah di setiap rakaat dan menurut keterangan yang kuat disirkan bacaannya
-   Basmallah tiada dibaca ketika membaca surah selepas Al-Fatihah

Membaca Bismillahirrahmanirrahim sebelum membaca Al-Fatihah baik di rakaat pertama atau rakaat selainnya adalah daripada sunnah Rasulullah saw akan tetapi membaca Bismillahirrahmanirrahim sebelum membaca surah maka sememangnya adalah suatu yang tiada dicontohkan oleh Rasulullah saw yang sewajarnya kita tinggalkan. Maka setelah membaca Al-Fatihah dan setelah mengucapkan Amin, teruskanlah dengan bacaan surah tanpa dimulai dengan Ta'auwwudz (A 'udzu billah ….) dan Bismillah. Bismillah itu wajib dibaca sebelum Al-Fatihah kerana demikianlah diperoleh keterangan yang shahih daripada Rasulullah saw di mana menurut keterangan yang lebih terang bahawa Bismillah itu dibaca dengan sir (tersembunyi), tentang apakah Basmallah ini sebahagian daripada Al-Fatihah atau tidak maka itu tidaklah menjadi perbahasan yang penting kerana apabila telah ada contoh daripada Rasulullah saw bahawa beliau membacanya di awal Al-Fatihah maka kita pun membacanya dan apabila tidak ada perintah/sunnah membacanya (Basmallah) pada surah maka tidak perlulah kita mencari-cari alasan atau mengqiyaskan (pada Al-Fatihah) untuk mengadakannya atau membolehkannya kerana apa yang disunnahkan itulah yang sepatut kita lakukan.


[1] Anas adalah seorang sahabat yang berkhidmat kepada Nabi saw sejak Nabi saw datang ke Madinah hingga Nabi saw wafat. Bahkan Anas dibenarkan masuk ke rumah Nabi saw sebelum turun ayat hijab, di setiap waktu dan Anas tetap menyertai Nabi saw di kampung dan dalam safar (perjalanan). Maka tiada diperoleh keterangan daripada Anas, seorang yang begitu rapat dengan Rasulullah saw ada meriwayatkan beliau saw menjaharkan Basmallah. Begitu pula Anas pernah menyertai Abu Bakar, Umar dan Usman dan pernah mengendalikan beberapa tugas negara di masa Umar. Begitu lama Anas bersama sahabat-sahabat besar namun tiada diperoleh daripada sahabat-sahabat besar tentang menjaharkan Basmallah.

Sifat Solat Nabi: Membaca ta'awwudz (9)


Membaca ta'awwudz

Firman Allah dalam surah An-Nahl ayat 98 [16:98]

فَاِذَا قَرَأْتَ الْقُرْآنَ فَاسْتَعِذْ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Maka apabila engkau membaca Al-Quran maka mintalah perlindungan Allah daripada syaitan yang direjam

Ayat di atas merupakan perintah Allah supaya dibacakan ta'awwudz[1] sebelum membaca ayat Al-Quran di mana perintah ini adalah perintah umum yang mencakup di dalam atau di luar solat. Dalam bab ini, terdapat beberapa riwayat yang menunjukkan Rasulullah saw ada membaca ta'awwudz di dalam solat maka dimanakah tempatnya dibacakan ta'awwudz itu?

قَالَ ابْنُ الْمُنْذِرِ: جَاءَ عَنِ النَّبِيِّ ص اَنَّهُ كَانَ يَقُوْلُ قَبْلَ الْقِرَاءَةِ اَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ
Telah berkata Ibnul Mundzir: Telah datang (riwayat) daripada Nabi saw sesungguhnya beliau saw membaca A'uudzu billahi minasy-syaithanir-rajiim (bermaksud) Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam  sebelum membaca (Al-Quran)

Dalam riwayat lainnya diperincikan lagi darihal tempat membaca ta'awwudz ini sebagaimana diterangkan daripada Abu Said Al-Khudri:

عَنْ اَبِى سَعِيْدٍ الْخُدْرِىِّ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ اسْتَفْتَحَ ثُمَّ يَقُوْلُ اَعُوْذُ بِاللهِ السَّمِيْعِ الْعَلِيْمِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْخِهِ وَنَفَثِهِ
Daripada Abu Said Al-Khudri ia berkata: Adalah Nabi saw apabila berdiri untuk solat beliau membaca (zikir) iftitah kemudiannya beliau membaca A'uudzu billahis sami'il 'alimi minasy-syaithaanir-rajiimi min hamzihi wanafkhihi wanafatsihi (bermaksud) Aku berlindung dengan Allah yang Maha Mendengar Maha Mengetahui dari syaitan yang direjam dari tikamannya, tiupannya dan ludahannya
Riwayat Ahmad dan At-Tirmidzi. Hadits ini juga diriwayatkan oleh Abu Daud[2].

Daripada Nafi' bin Jubair bin Muth'im daripada bapanya ia berkata:

سَمِعْتُ رَسُوْلَ الله ص يَقُوْلُ فِي التَّطَوُّعِ اَللهُ اَكْبَرُ كَبِيْرًا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ وَالْحَمْدُ للهِ كَثِيْرًا ثَلاَثَ مَرَّاتٍ وَسُبْحَانَ اللهِ بُكْرَةً وَاَصِيْلاً ثَلاَثَ مَرَّاتٍ اَللَّهُمَّ اِنِّيْ اَعُوْذُبِكَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيْمِ مِنْ هَمْزِهِ وَنَفْثِهِ وَنَفْخِهِ. قُلْتُ: يَا رَسُوْلَ الله مَا هَمْزُهُ وَنَفْثُهُ وَنَفْخُهُ؟ قَالَ: اَمَّا هَمْزُهُ فَالْمَوْتَهُ الَّتِى تَأْخُذُ بَنِى آدَمَ اَمَّا نَفْخُهُ الْكِبْرُ وَنَفْثُهُ الشِّعْرُ
Aku mendengar Rasulullah saw membaca dalam (solat) tathawwu' Allahu akbaru kabiira bermaksud (Allah Maha Besar, sungguh Maha Besar) 3x dan Walhamdulillahi katsiera bermaksud (dan pujian-pujian bagi Allah yang amat banyak) 3x dan Wasubhaanallahi bukratan wa ashila bermaksud (dan Maha Suci Allah di pagi dan petang) 3x. Allahumma inni a'uudzubika minasy-syaithanir-rajiimi min hamzihi wanaftsihi wanafkhihi bermaksud (Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung denganmu daripada syaitan yang direjam dari fitnahnya, hembusan dan tiupannya). Aku berkata: Ya Rasulullah, apa itu fitnah, hembusan dan tiupannya itu? Beliau saw bersabda: Fitnahnya ialah sengketa di antara manusia, tiupannya ialah takabbur dan hembusannya ialah syair
Riwayat Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Ibnu Hibban dengan diringkaskan

Daripada keterangan-keterangan yang dibawakan, ianya jelas menunjukkan bahawa ta'awwudz ini hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir iftitah sebelum membaca Basmallah dan ta'awwudz ini tidak dibacakan pada rakaat-rakaat lainnya dan tidak juga dibacakan ketika hendak membaca surah selepas Al-Fatihah. Inilah pengamalan yang terang bersandarkan pengamalan Rasulullah saw dan sahabat di mana telah berkata Al-Aswad:

وَقَالَ الأَسْوَدُ: رَاَيْتُ عُمَرَ – حِيْنَ يَفْتَتِحُ الصَّلاَةَ – يَقُوْلُ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلاَ اِلَهَ غَيْرُكَ ثُمَّ يَتَعَوَّذُ
Telah berkata Al-Aswad: Aku melihat Umar – ketika memulai solat – mengucapkan Subhaanakallahumma wabihamdika watabarakasmuka wata'aala jadduka wala ilaaha ghoiruka bermaksud (Maha suci Engkau ya Allah dan pujian bagiMu, Maha Berkat NamaMu dan Maha Tinggi keagunganMu dan tiada Tuhan yang disembah selainMu) kemudian dia berta'awwudz
Riwayat Ad-Daruquthni

Tiada diperoleh keterangan daripada Rasulullah saw bahawa beliau ada membaca ta'awwudz dalam rakaat kedua, ketiga atau keempat dan tiada diperoleh keterangan bahawa Rasulullah saw ada membaca ta'awwudz sebelum membaca surah selepas Al-Fatihah maka tinggalkanlah perkara-perkara yang tiada contohnya daripada Rasulullah saw ini dan beramallah dengan keterangan yang jelas bukan dengan sangkaan kerana sesungguhnya sangkaan itu sedikitpun tidak berguna untuk mendapatkan kebenaran. Firman Allah: Surah Yunus ayat 36 [10:36]


وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya zhan (sangkaan) itu, tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.”

Kesimpulan
Ta'awwudz hanya dibaca pada rakaat pertama setelah membaca zikir iftitah sebelum membaca Basmallah.


[1] Yang dikatakan ta'awwudz ialah meminta perlindungan Allah di mana dalam ayat 98 surah An-Nahl ini dijelaskan   فَاسْتَعِذْ بِاللهِ   iaitu memohon perlindungan Allah daripada syaitan dengan bacaan seperti A'uudzu billahi minasy-syaithaanir-rajiim
[2] Menurut At-Tirmidzi, hadits ini adalah hadits yang paling masyhur dalam urusan ini dan telah diamalkan oleh sebahagian ahli ilmu. Sanad hadits Abu Said ini diperkatakan oleh para ahli hadits namun begitu hadits ini dapat dijadikan hujjah kerana datangnya melalui banyak jalan maka riwayat-riwayat ini saling menguatkan satu sama lain.

Sifat Solat Nabi: Khusyuk (8)


KHUSYUK

Banyak di antara kita faham makna khusyuk dan berusaha untuk melaksanakan di dalam ibadah solat seharian kita dan banyak jugalah yang lazimnya gagal mencapai tahap khusyuk sebagaimana yang dikehendaki. Khusyuk itu adalah satu urusan dalam ibadah yang sangat penting kerana tanpa khusyuk kita akan menjadi lalai di dalam solat, di mana sifat lalai ini adalah dikecam oleh Allah sebagaimana firman-Nya :

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّيْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ يُرَآءُوْنَ * وَيَمْنَعُوْنَ الْمَاعُوْنَ
“Maka celakalah bagi orang-orang yang bersolat iaitu orang-orang yang lalai dalam solat mereka[1], orang-orang yang berbuat riya’ dan enggan (menolong dengan) barang yang berguna”                  
Surah Al-Maa’uun ayat 4-7 [107:4-7]

Maka untuk mencapai khusyuk ini, maka telah manusia mereka berbagai cara dari golongan Syafieyah (bukan Imam As-Syafie) atau golongan yang bertaklied buta kepada ulama ulama yang dianggap bermazhab Syafie, mereka mengadakan berbagai muqaranah niat yang terpecah kepada beberapa bahagian yang tidak lain adalah usaha akal yang didahulukan dari naqal (nash). Akhirnya lahirlah faham bahawa lafaz itu membantu/menguatkan hati dan terciptalah lafaz ushalli.., nawaitu.. dan lain-lain rekaan yang semuanya dilakukan atas dasar Zhann atau sangkaan akal bahawa ianya satu kebaikan. Sesungguhnya Zhann atau sangkaan yang demikian itu di atas urusan Syariat adalah perbuatan yang tidak mendatangkan kebaikan walau sedikit pun. Firman Allah :

وَمَا يَتَّبِعُ أَكْثَرُهُمْ اِلاَّ ظَنًّا اِنَّ الظَّنَّ لاَ يُغْنِى مِنَ الْحَقِّ شَيْئًا
Dan kebanyakan mereka tidak mengikuti kecuali persangkaan sahaja. Sesungguhnya zhan (sangkaan) itu, tidak sedikit pun berguna untuk mencapai kebenaran.”
Surah Yunus ayat 36 [10:36]

Untuk mencapai tahap khusyuk hendaklah kita melakukannya menurut apa yang disunnahkan oleh Rasulullah saw. kerana telah ada hadits yang terang di dalam bab solat bahawa kita perlu menurut apa yang telah dicontohkan oleh Rasulullah saw. sebagaimana sabdanya :
صَلُّوْا كَمَا رَاَيْتُمُوْنِيْ اُصَلِّيْ
 “Hendaklah kamu bersolat sebagaimana kamu melihat aku mengerjakan solat.”
Riwayat Bukhari dan Ahmad.

Dalil Zhann atau menimbulkan sangkaan itu baik ini baik/hasanah atau ada bid’ah hasanah adalah satu faham yang amat bahaya kepada ibadah seorang muslim, ini ditegaskan oleh Imam Malik, katanya :

مَنِ ابْتَدَعَ فِي الاِسْلاَمِ بِدْعَةً يَرَاهَا حَسَنَةً فَقَدْ زَعَمَ اَنَّ مُحَمَّدًا ص خَانَ الرِّسَالَةَ لاَنَّ اللهَ تَعَالَى يَقُولُ  {اَلْيَوْمَ اَكْمَلْتُ لَكُمْ دِيْنَكُمْ وَاَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِيْ وَرَضِيْتُ لَكُمُ الاِسْلاَمَ دِيْنًا} فَمَا لَمْ يَكُنْ يَوْمَئِذٍ دِيْنًا فَلاَ يَكُونُ الْيَوْمُ دِيْنًا
Barangsiapa mengada-adakan di dalam Islam suatu bid’ah yang dia melihatnya sebagai suatu kebaikan maka sesungguhnya dia telah menuduh bahawa Muhammad saw mengkhianati risalah kerana Allah Taala telah berfirman (yang maksudnya): “Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu dan telah Kucukupkan kepadamu nikmatKu dan telah Kuredhai Islam itu menjadi agama bagimu”. Maka sesuatu yang tidak menjadi agama pada hari itu tidak menjadi agama pula pada hari ini.

Maka amalan seperti melafazkan niat (ushalli.., nawaitu..) dan muqaranah niat itu semua adalah amalan yang lahir dari dasar Zhann/sangkaan dan ianya adalah bid’ah dhalalah/sesat bukannya bid’ah hasanah dan tidak ada sebarang bid’ah di dalam urusan agama melainkan semuanya adalah dhalalah sesat. Sabda Rasulullah saw.:

مَا تَرَكْتُ شَيْئًا مِمَّا اَمَرَكُمُ اللهُ بِهِ اِلاَّ وَقَدْ اَمَرْتُكُمْ بِهِ وَلاَ تَرَكْتُ شَيْئًا مِمَّا نَهَاكُمْ عَنْهُ اِلاَّ وَقَدْ نَهَيْتُكُمْ عَنْهُ
“Aku tidak meninggalkan sesuatu dari apa apa yang telah di perintahkan Allah kepada kamu dengannya melainkan sungguh aku telah perintahkan kamu dengannya, dan aku tidak tinggalkan sesuatu dari apa apa yang telah di larang kamu darinya oleh Allah melainkan akau telah melarang kamu darinya.”
Riwayat Ibnu Abdil-Barri dan Baihaqi.

Abdullah bin Umar berkata :
كُلُّ بِدْعَةٍ ضَلاَلَةٌ وَاِنْ رَآهَا النَّاسُ حَسَنَةً
“Semua bid’ah adalah sesat walaupun manusia memandangnya baik.”

Hendaklah kita mengambil dalil yang sah dalam pengamalan ibadah kita bersih dari sangkaan akal dan tidak atas dasar taklied kepada para ulama. Demikian juga dalam urusan khusyuk di dalam solat hendaklah kita mengambil dalil dari sunnah Rasulullah saw. iaitu dari hadits yang sah untuk dibuat dalil. Khusyuk itu berkehendakkan ikhlas di dalam kita mengabdikan diri kepada Allah sebagaimana firman-Nya :

وَمَا اُمِرُوْا اِلاَّ لِيَعْبُدُوْا اللهَ مُخْلِصِيْنَ لَهُ الدِّيْنَ حُنَفَآءَ وَيُقِيْمُوْا الصَّلاَةَ وَيُؤْتُوْا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِيْنُ الْقَيِّمَةِ
 “Dan mereka tidak diperintahkan kecuali supaya menyembah Allah dengan memurnikan ketaatan kepada-Nya dalam (menjalankan agama) dengan lurus, dan supaya mereka mendirikan solat, dan menunaikan zakat dan yang demikian itulah agama yang lurus.”
Surah Al-Bayyinah ayat 5 [98:5]

Selain dari kita perlu kepada keikhlasan di dalam solat untuk mendapatkan khusyuk, seorang yang melakukan ibadah solat hendaklah memiliki Ihsan. Dalil tentang Ihsan ini adalah sebagaimana sabda Rasulullah saw. yang berbunyi :

الاِحْسَانُ اَنْ تَعْبُدَ اللهَ كَاَنَّكَ تَرَاهُ فَاِنْ لَمْ تَكُنْ تَرَاهُ فَاِنَّهُ يَرَاكَ
 “Ihsan itu adalah engkau menyembah Allah seakan akan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Ia melihat engkau.”
Riwayat Bukhari dan Muslim.

Ibadat yang dilakukan sambil lewa atau seperti melepaskan batuk di tangga dengan mematuk-matuk di dalam rukuk dan sujudnya sehingga nampak tergesa-gesa (tidak ada thuma'ninah) tidak akan mendapat apa-apa daripada Allah. Maka supaya amalan diterima Allah hendaklah ia lakukan dengan cara yang sebaiknya dari segi lahiriah dan batiniahnya. Inilah di antara cara untuk mendatangkan khusyuk di dalam ibadah solat. Firman Allah :

وَالَّذِيْنَ يُؤْتُوْنَ مَآ ءَاتَواْ وَقُلُوْبُهُمْ وَجِلَةٌ اَنَّهُمْ اِلَى رَبِّهِمْ رَاجِعُوْنَ * اُولَئِكَ يُسَارِعُوْنَ فِي الْخَيْرَاتِ وَهُمْ لَهَا سَابِقُوْنَ
 “Dan orang-orang yang memberikan apa yang mereka berikan sedangkan hati-hati mereka dalam ketakutan, takut akan ditolak amalan mereka (kerana mereka tahu bahawa) sesungguhnya mereka akan kembali kepada Tuhan mereka. Mereka itu bersegera untuk mendapat kebaikan-kebaikan dan merekalah orang-orang yang segera memperolehinya.”                      
Surah Al-Mukminun ayat 60-61 [23:60-61]

Betapa pentingnya kita menjaga khusyuk di dalam solat agar solat itu tidak menjadi amalan yang sia-sia baik yang berupa wajib mahupun yang sunnat kerana inilah sifat sebagai seorang yang beriman yang benar-benar mengharapkan keredhaan Allah di dalam ibadahnya bukan melaksanakan ibadah sekadar melepas tanggungjawab lalu dibuat ala kadar atau pada kata orang sekarang asalkan buat sudah ! Firman Allah :

اِنَّ الَّذِيْنَ ءَامَنُوْا وَعَمِلُوْا الصَّالِحَاتِ وَأَخْبَتُوْا اِلَى رَبِّهِمْ اُولَئِكَ اَصْحَابُ الْجَنَّةِ هُمْ فِيْهَا خَالِدُوْنَ
 “Sesungguhnya orang orang yang beriman dan mengerjakan amalan amalan soleh dan khusyuk kepada Tuhan mereka, mereka itulah penghuni penghuni syurga, mereka kekal di dalamnya.”
Surah Huud ayat 23 [11:23]

Tanamkan rasa takut jika amalan kita ditolak dengan menjaga baik dari segi bacaan di dalam solat ataupun gerak hati yang lalai dan jagalah sifat/perbuatan solat itu agar dilakukan dengan tertib serta berthuma’ninah (ada perhentian/berdiam) yang lahir padanya Ihsan iaitu kita menyembah Allah seakan-akan kita melihatnya dan menyakini Allah melihat amalan kita, Dia mengetahui apa yang tersirat di hati kita dan Dia mendengar ucapan yang kita tuturkan. Allah menjelaskan tentang kepentingan khusyuk ini di beberapa tempat di dalam Al-Quran dan firman-Nya lagi :

حَافِظُوْا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلاَةِ الْوُسْطَى وَقُوْمُوْا للهِ قَانِتِيْنَ
 “Peliharalah oleh kamu benar benar akan segala solat dan solat Wusta dan berdiri tegaklah untuk Allah dalam keadaan tetap khusyuk kepada-Nya.”
Surah Al-Baqarah ayat 238 [2:238]

Jagalah rukuk dan sujud kita agar ianya menjadi rukuk yang berthuma’ninah iaitu yang benar-benar rukuk dan sujud itu kerana mengharapkan keredhaan Allah, bukan sekadar pelepas sifat solat. Ini sangat ditekankan oleh Rasulullah saw. sebagaimana diriwayatkan daripada ‘Amru bin ‘Ash, Khalid bin Al-Walid, Syurahbil bin Hasanah dan Yazid bin Abu Sufian meriwayatkan :

رَأَى رَسُوْلُ الله ص رَجُلاً لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهُ وَيَنْقُرْ فِيْ سُجُوْدِهِ وَهُوَ يُصَلِّيْ فَقَالَ: لَوْ مَاتَ هَذَا عَلَى حَالِهِ هَذِهِ مَاتَ عَلَى غَيْرِ مِلَّةِ مُحَمَّدٍ يَنْقُرُ صَلاَتَهُ كَمَا يَنْقُرُ الْغُرَابُ الدَّمَ! مَثَلُ الَّذِيْ لاَ يُتِمُّ رُكُوْعَهُ وَيَنْقُرْ فِيْ سُجُوْدِهِ مَثَلُ الْجَائِعِ الَّذِيْ يَأْكُلُ التَّمْرَةَ وَالتَّمْرَتَيْنِ لاَ يُغْنِيَانِ عَنْهُ شَيْئًا
Rasulullah saw. melihat seorang laki laki yang tidak menyempurnakan rukuknya dan ia memagut dalam sujudnya dalam solatnya, maka beliau bersabda : Jika orang ini mati dalam keadaannya seperti ini, matilah dia di atas agama yang bukan agama Muhammad, ia memagut dalam solatnya sebagaimana burung gagak memagut darah ! Bandingan orang yang tidak menyempurnakan rukuknya dan ia memagut magut dalam sujudnya adalah bagaikan orang lapar yang memakan sebiji dua biji buah tamar tentulah tidak mengenyangkannya.”
Riwayat Al-Ajuri, Al-Bahaiqi, Ath-Thabaranie dan Ibnu Khuzaimah.

Lakukanlah rukuk dan sujud itu menurut cara yang telah disunnahkan oleh Rasulullah saw., jangan tergesa-gesa, bacalah dengan cara yang bersopan dan beradab kerana Allah mendengar bacaan kita dan kita bertasbih kepada Rabb Yang Maha Agung. Sabda Rasulullah saw.:

اِذَا قُمْتَ اِلَى الصَّلاَةِ فَاَسْبِغِ الْوُضُوْءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ وَاقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا ثُمَّ ارْفَعْ رَأْسَكَ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِىَ وَتَطْمَئِنَّ جَالِسًا ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَسْتَوِىَ قَائِمًا ثُمَّ افْعَلْ ذَلِكَ فِيْ صَلاَتِكَ كُلِّهَا
“Apabila engkau hendak mengerjakan solat hendaklah engkau sempurnakan wudhuk, kemudian hendaklah engkau mengadap kiblat dan bertakbir. Kemudian bacalah yang mudah dari ayat ayat Al-Quran, kemudian hendaklah engkau rukuk sampai engkau bertama’ninah, kemudian angkatlah kepalamu sehingga sehingga engkau berdiri lurus kembali, kemudian hendaklah engkau sujud sampai engkau tama’ninah dalam sujud, kemudian hendaklah engkau bangkit sampai engkau duduk lurus dengan tama’ninah, kemudian hendaklah engkau sujud sampai engkau tama’ninah di dalam sujud, kemudian engkau bangkit sampai engkau lurus dengan tama’ninah, kemudian lakukanlah yang demikian itu dalam semua solatmu.”
Riwayat Al-Bukhari dan Muslim.

Demikianlah sunnah Rasulullah saw. di dalam menyempurnakan solat, menjaga bacaan, hati dan sifat perbuatan di dalam solat agar secucuk dengan sunnah Rasulullah saw. adalah termasuk di dalam menjaga khusyuk. Maka dari dalil-dalil di atas ulama menerangkan bahawa khusyuk itu adalah :
الاِخْبَاتُ وَتَطَامُنُ الْقَلْبِ وَالْجَوَارِحِ للهِ تَعَالَى
 ‘Tunduk dan tawadhu' serta ketenangan hati dan segala anggota kepada Allah Ta’ala’

Firman Allah dalam surah Al-Hadid ayat 16 [57:16]

أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِيْنَ ءَامَنُوْا اَنْ تَخْشَعَ قُلُوْبُهُمْ لِذِكْرِ اللهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ ....
Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk tunduk hati mereka mengingat Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka) ……

Mudah-mudahan kita dapat melakukan solat kita dengan khusyuk dan jauhilah sifat lalai sambil lewa dalam menunaikan apa jua ibadah semoga kita menjadi seorang yang benar-benar mukmin iaitu yang beroleh kejayaan. Sesungguhnya Alllah telah mengaitkan kejayaan orang yang beriman itu dengan khusyuk dalam solat. Ini dijelaskan Allah dengan firmanNya :

قَدْ اَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلاَتِهِمْ خَاشِعُوْنَ
“Sesungguhnya telah beroleh kejayaan orang orang mukmin yang khusyuk dalam solat mereka.”                                                             
Surah Al-Mukminun ayat 1-2 [23:1-2]

عَنْ اُبَيِّ بْنِ كَعْبٍ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: لاَ يُقْبَلُ مَنْ عَمِلَ عَمَلاً حَتَّى يَشْهَدَ قَلْبُهُ مَعَ بَدَنِهِ
Daripada Ubay bin Ka'ab ia berkata: Telah bersabda Rasulullah saw: Tidak diterima barangsiapa yang melakukan sesuatu amalan sehingga hatinya menyaksikan (hadir) bersama badannya
Riwayat Abu Syuja' Ad-Dailami

Sememangnya bukan sesuatu yang mudah untuk kita khusyuk dalam solat namun berusahalah bersungguh-sungguh dengan kemampuan yang terbaik untuk kita khusyuk dalam solat. Tolaklah segala jenis ingatan, fikiran dan lintasan terhadap urusan-urusan keduniaan yang melalaikan kita dari solat dan berusahalah tumpukan hati dan jasad kita untuk tunduk, sujud dan memuji Allah. Para ulama berpandangan bahawa lintasan-lintasan hati yang sedikit tidaklah merosakkan rosak. Ini berdalilkan riwayat daripada Abu Hurairah:

عَنْ اَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ: اِنَّ النَّبِيَّ ص قَالَ: اِذَا نُوْدِيَ بِالصَّلاَةِ اَدْبَرَ الشَّيْطَانُ لَهُ ضُرَاطٌ حَتَّى لاَ يَسْمَعَ الآذَانَ فَاِذَا قُضِيَ الآذَانُ اَقْبَلَ فَاِذَا ثُوِّبَ بِهَا اَدْبَرَ فَاِذَا قُضِيَ التَّثْوِيْبُ اَقْبَلَ حَتَّى يَخْطُرَ بَيْنَ الْمَرْءِ وَنَفْسِهِ يَقُوْلُ اُذْكُرْ كَذَا اُذْكُرْ كَذَا لِمَا لَمْ يَكُنْ يَذْكُرْ حَتَّى يَظَلَّ الرَّجُلُ لاَ يَدْرِى كَمْ صَلَّى فَاِذَا لَمْ يَدْرِ اَحَدُكُمْ صَلَّى اَثَلاَثًا صَلَّى اَوْ اَرْبَعًا فَلْيَسْجُدْ سَجْدَتَيْنِ وَهُوَ جَالِسٌ
Daripada Abu Hurairah ia berkata: Bahawa Nabi saw bersabda: Apabila azan dikumandangkan, larilah syaitan sambil terkentut-kentut sehingga ia tidak dapat mendengarnya (azan). Setelah selesai dikumandangkan, syaitan datang lagi. Apabila dibacakan iqamat, syaitan lari pula. Setelah iqamat selesai, ia datang lagi untuk mewas-waskan manusia. Ia mengatakan: 'Ingatlah itu, ingatlah ini, bagi segala yang tidak teringat' sehingga bergelumanglah orang itu dalam ingatannya dan lalu ia tidak mengetahui berapa rakaat sudah ia kerjakan. Kerana itu, apabila seseorang kamu tiada mengetahui apakah tiga rakaat sudah dikerjakan atau empat rakaat, hendaklah ia bersujud dua kali sedang ia (dalam keadaan duduk)
Bukhari dan Muslim

عَنْ عُثْمَانَ بْنِ اَبِى الْعَاصِ اَتَى النَّبِيَّ ص فَقَالَ: يَا رَسُوْلَ الله اِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِيْ وَبَيْنَ صَلاَتِيْ وَقِرَاءَتِيْ يَلْبَسُهَا عَلَيَّ فَقَالَ رَسُوْلُ الله ص ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزَبٌ فَاِذَا اَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللهِ مِنْهُ وَاتْفُلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا قَالَ فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَاَذْهَبَهُ اللهُ عَنِّيْ
Daripada Usman bin Abil 'Ash (ia) datang kepada Nabi saw maka ia berkata: Wahai Rasulullah saw, aku sering diganggu syaitan dalam solat sehingga bacaanku menjadi kacau  kerananya. Maka bersabda Rasulullah saw: Itulah syaitan yang dipanggil (dinamakan) Khinzab. Maka apabila engkau diganggunya maka pohonlah perlindungan Allah daripadanya dan ludah ke kirimu tiga kali. Usman berkata: Aku melakukan yang demikian maka Allah menghilangkannya dariku
Shahih riwayat Muslim

Abu Daud, An-Nasaie dan Ibnu Hibban meriwayatkan dari 'Ammar bin Yasir ia berkata: Aku mendengar Rasulullah saw bersabda:

اِنَّ الرَّجُلَ لَيَنْصَرِفَ وَمَا كُتِبَ لَهُ اِلاَّ عُشْرُ صَلاَتِهِ تُسْعُهَا ثُمُنُهَا سُبُعُهَا سُدُسُهَا خُمُسُهَا رُبُعُهَا ثُلُثُهَا نِصْفُهَا
Sesungguhnya seseorang yang berpaling (selesai solat) tiadalah ditulis baginya melainkan sepersepuluhnya, sepersembilannya, seperlapannya, sepertujuhnya, seperenamnya, seperlimanya, seperempatnya, sepertiganya dan separuhnya.



[1] Lalai pada solatnya iaitu sama ada ia melalaikan pada waktu solat tersebut atau ia melalaikan dari segi perlaksanaan solat tersebut, tanpa khusyuk, tidak dikerjakan solat itu sebagaimana diperintahkan syara'. Demikian ini merupakan perlakuan golongan munafiq.
عَنْ اَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: تِلْكَ صَلاَةُ الْمُنَافِقِ، يَجْلِسُ يَرْقُبُ الشَّمْسَ حَتَّى اِذَا كَانَتْ بَيْنَ قَرْنَيِ الشَّيْطَانِ قَامَ فَنَقَرَهَا اَرْبَعًا لاَ يَذْكُرُ اللهَ اِلاَّ قَلِيْلاً
Dari Anas bin Malik r.a. berkata : “Rasulullah saw. bersabda : Inilah macam solat orang munafik. Dia duduk mengintai-intai matahari. Hingga apabila matahari telah berada antara dua tanduk syaitan, barulah ia tergesa-gesa, mematuk-matuk empat rakaat solat. Mereka tidak mau mengingati Allah kecuali sedikit saja.”
Hadits shahih riwayat Muslim disebut dalam Kitabul-Masajid


Sifat Solat Nabi: Bacaan (Doa) Iftitah (7)


Bacaan (Doa) Iftitah
Kita masuk kepada membaca zikir Iftitah, di mana dalam bab ini terdapat beberapa bacaan yang dicontohkan oleh Rasulullah saw kepada kita semasa beliau mengerjakan solat fardhu dan sunnat. Kita cuba teliti bab ini satu persatu dari zikir-zikir itu. Hadits pertama :

عَنْ عَلِيِّ بْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ قَالَ وَجَّهْتُ وَجْهِيَ لِلَّذِيْ فَطَرَ السَّمَوَاتِ وَالأَرْضَ حَنِيْفًا مُسْلِمًا وَمَا اَنَا مِنَ الْمُشْرِكِيْنَ، اِنَّ صَلاَتِيْ وَنُسُكِيْ وَمَحْيَايَ وَمَمَاتِيْ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِيْنَ، لاَ شَرِيْكَ لَهُ وَبِذَلِكَ اُمِرْتُ وَاَنَا مِنَ الْمُسْلِمِيْنَ، اَللَّهُمَّ اَنْتَ الْمَلِكُ لاَ اِلَهَ اِلاَّ اَنْتَ، اَنْتَ رَبِّيْ وَاَنَا عَبْدُكَ ظَلَمْتُ نَفْسِيْ وَاعْتَرَفْتُ بِذَنْبِيْ فَاغْفِرْلِيْ ذُنُوْبِيْ جَمِيْعًا لاَ يَغْفِرُ الذُّنُوْبَ اِلاَّ اَنْتَ وَاهْدِنِيْ لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِى لأَحْسَنِهَا اِلاَّ اَنْتَ، وَاصْرِفْ عَنِّيْ سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّيْ سَيِّئَهَا اِلاَّ اَنْتَ لَبَّيْكَ وَسَعْدَيْكَ وَالْخَيْرُ كُلُّهُ فِيْ يَدَيْكَ وَالشَّرُّ لَيْسَ اِلَيْكَ اَنَا بِكَ وَاِلَيْكَ تَبَارَكْتَ وَتَعَالَيْتَ اَسْتَغْفِرُكَ وَاَتُوْبُ اَلَيْكَ
 Ali bin Abi Talib menerangkan : Adalah Nabi saw. apabila telah berdiri dalam solat sesudah membaca takbir, beliau membaca: Wajjahtu wajhiya lilladzi….. (bermaksud) Aku hadapkan diriku kepada Allah yang telah menciptakan langit dan bumi. Aku mencondongkan diriku kepada kebenaran lagi menyerah diri kepada-Nya dan aku sekali-kali bukan dari orang-orang yang menyekutui sesuatu dengan Allah. Sesungguhnya solatku, ibadatku, hidupku dan matiku, semata-mata kerana Allah, Tuhan yang memiliki sekelian alam. Tak ada sekutu bagi-Nya. Demikian aku disuruh dan adalah aku ini dari orang-orang Islam (orang yang menyerahkan diri kepada Allah). Ya Allah, Engkaulah raja, tiada ada Tuhan selain daripada Engkau. Engkaulah Tuhanku, aku hambamu. Telah aku aniayai diriku. Aku mengaku akan dosaku. Tiada yang dapat mengampuni dosa, selain daripada-Mu. Pimpinlah daku kepada sebaik-baik perangai, kerana tidak ada yang dapat memimpin kepada sebaik-baik perangai, selain daripada-Mu. Palingkanlah daripada diriku segala perangai yang buruk. Tidak ada yang dapat memalingkan kejahatan daripadaku, selain Engkau jua. Aku selalu berketetapan dalam mentaati-Mu dan aku mengerjakan perintah-Mu setiap masa. Segala kebajikan di tangan-Mu. Dan kejahatan itu sedikitpun tidak kembali kepada-Mu. Aku dengan-Mu dan kepada-Mu, Maha Berkat diri-Mu dan Maha Tinggi. Aku memohon keampunan-Mu dan aku bertaubat kepada-Mu.
Riwayat Ahmad, Muslim dan At-Turmidzi.

Bacaan ini diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam bab sifat solat Nabi dan dalam doa Nabi saw. pada solat malam. At-Tirmidzi pula meriwayatkan dalam bab beliau bangun tidur di malam hari untuk solat malam (solat sunnat). Menurut Al Baihaqi dan At-Thabarani, Nabi saw. membaca doa tawajjuh ini dalam solat fardhu.

Bacaan lainnya ialah :

عَنِ الأَسْوَدِ قَالَ: كَانَ عُمَرُ اِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ قَالَ سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ وَتَبَارَكَ اسْمُكَ وَتَعَالَى جَدُّكَ وَلاَ اِلَهَ غَيْرُكَ يُسْمِعُنَا ذَلِكَ وَيُعَلِّمُنَا
 Daripada Al-Aswad berkata: Adalah Umar apabila telah membaca takbiratul ihram, beliau membaca: Subhaanakallahumma wa bihamdika wa tabarakas-muka wa ta’ala jadduka wa la ilaha ghairuka bermaksud (Maha suci Engkau ya Allah dan pujian bagiMu, Maha Berkat NamaMu dan Maha Tinggi keagunganMu dan tiada Tuhan yang disembah selainMu) Diperdengarkan kepada kami bacaan itu dan diajarkan kepada kami
Riwayat Ad-Daruquthnie dengan darjat yang sahih[1].

Menurut para ulama bahawa zikir ini diamalkan oleh Umar, Abdullah bin Mas'ud dan Aisyah.

Ada beberapa zikir iftitah lain yang boleh diamalkan asalkan saja ianya benar daripada Rasulullah saw. Kita boleh memilih mana-mana bacaan yang dirasakan sesuai menurut kemampuan hafalan atau boleh juga digilir-gilir membacanya dan ini lebih menepati As Sunnah kerana Rasulullah saw. sendiri membaca berbagai-bagai zikir dalam solatnya. Cuma apa yang ingin sampaikan di sini jangan kita mengubah zikir tersebut mengikut selera kita sebagaimana yang lazim dilakukan oleh kebanyakan umat Islam di mana mereka membaca zikir yang diriwayatkan oleh Ali di atas hanya dibaca sekerat sampai ke wa ana minal Muslimin kerana mengubah apa yang telah ditetapkan dalam  As-Sunnah adalah termasuk dalam rekaan perkara baru dalam ibadat yang kita telah pelajari dahulu sebagai satu bid’ah, satu urusan yang sangat-sangat ditegah dalam Islam.

Bacaan zikir lainnya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah:

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَة قَالَ كَانَ رَسُولُ الله ص اِذَا كَبَّرَ لِلصَّلاَةِ سَكَتَ هُنَيْهَةً قَبْلَ اَنْ يَقْرَأَ فَسَاَلْتُهُ فَقَالَ اَقُوْلُ اَللَّهُمَّ بَاعِدْ بَيْنِيْ وَبَيْنَ خَطَايَايَ كَمَا بَاعَدْتَ بَيْنَ الْمَشْرِقِ وَالْمَغْرِبِ اَللَّهُمَّ نَقِّنِيْ مِنْ خَطَايَايَ كَمَا يُنَقَّى الثَّوْبُ الأَبْيَضُ مِنَ الدَّنَسِ اَللَّهُمَّ اغْسِلْنِيْ مِنْ خَطَايَايَ بِالْمَاءِ وَالثَّلْجِ وَالْبَرَدِ
Daripada Abu Hurairah ia berkata: Adalah Rasulullah saw apabila bertakbir untuk solat, beliau berhenti seketika sebelum membaca (Al-Fatihah) maka aku bertanya kepadanya maka beliau saw bersabda: Aku ucapkan (bermaksud) Ya Allah, jauhkanlah antaraku dan kesalahan-kesalahanku sebagaimana Engkau jauhkan antara Timur dan Barat. Ya Allah, bersihkan aku dari kesalahan-kesalahanku sebagaimana dibersihkan kain yang putih dari kotoran. Ya Allah, mandikan aku dari kesalahan-kesalahanku dengan air, salji dan embun.
Muttafaq 'Alaih



[1] Hadits ini diriwayatkan dari banyak jalan daripada beberapa sahabat di mana terdapat di antaranya mauquf (terhenti pada sahabat) dan ada juga yang ma'lul (berpenyakit) namun hadits yang diriwayatkan oleh Ad-Daruquthni di atas ini adalah shahih di mana perawi-perawinya orang-orang yang dapat dipercaya. Demikian sebagaimana ditegaskan oleh Syamsul Haq.