Wednesday, June 18, 2014

Sifat Solat Nabi: Sekitar Bab Pandangan Mata (6)


SOLAT

Pandangan mata
Kita telah membincangkan tentang bersedekap pada pelajaran yang lalu maka pada siri kali ini kita masuk kepada bab pandangan mata dalam solat. Dalam sepotong riwayat, dinyatakan oleh sahabat bahawa Rasulullah saw melarang orang yang sedang bersolat memandang ke langit sebagaimana hadits yang berbunyi :

عَنْ جَابِرِ بْنِ سَمُرَةَ قَالَ: قَالَ رَسُوْلُ الله ص: لَيَنْتَهِيَنَّ اَقْوَامٌ يَرْفَعُوْنَ اَبْصَارَهُمْ اِلَى السَّمَاءِ فِي الصَّلاَةِ اَوْ لاَ تَرْجِعُ اِلَيْهِمْ
 Daripada Jabir bin Samurah ia menerangkan : Rasulullah saw. bersabda : Hendaklah orang-orang berhenti dari mengangkat penglihatan mereka ke langit di dalam solat, atau biarlah (penglihatan mereka)  tiada akan kembali kepada  mereka.”
Riwayat Muslim

Daripada Abu Hurairah bahawa Rasulullah saw bersabda:

لَيَنْتَهِيَنَّ اَقْوَامٌ يَرْفَعُوْنَ اَبْصَارَهُمْ اِلَى السَّمَاءِ فِيْ الصَّلاَةِ اَوْ لَتُخْطَفَنَّ اَبْصَارُهُمْ
 Hendaklah orang-orang menghentikan (perbuatan mereka) mengangkat penglihatan ke langit  atau akan dicabut penglihatan mereka.
Riwayat Ahmad, Muslim dan An-Nasaie

Maka berdasarkan dari hadits di atas dan beberapa hadits lainnya maka ulama ahli hadits mengambil faham dilarang keras memandang ke atas iaitu ke langit semasa solat dan hendaklah menunduk pandangan mata itu kepada urusan solat, ada yang berpandangan caranya adalah jika semasa berdiri itu matanya ditujukan ke tempat sujud. Imam As-Syafei dan ulama Kufah mengambil pandangan dalam urusan ini dengan katanya : “Disukai bagi mereka yang solat memandang ke tempat sujudnya.” Ini berdalilkan sepotong riwayat:

كَانَ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اِذَا صَلَّى طَأْطَأَ رَأْسَهُ وَرَمَى بِبَصَرِهِ نَحْوَ الأَرْضِ
Adalah (Nabi) saw apabila solat, maka beliau menundukkan kepalanya dan melemparkan pandangannya ke bumi

لَمَّا دَخَلَ الْكَعْبَةَ مَا خَلَفَ بَصَرُهُ مَوْضِعَ سُجُوْدِهِ حَتَّى خَرَجَ مِنْهَا
Tatkala beliau saw memasuki Kaabah maka pandangannya tidak pernah meninggalkan tempat sujudnya hingga beliau keluar daripadanya.

Kedua-dua hadits di atas diriwayatkan oleh Al-Baihaqi dan Al-Hakim dan dishahihkan olehnya. Demikian sebagaimana dinyatakan dalam kitab Sifat Solat Nabi oleh Muhammad Nashiruddin Al-Albani.

Namun demikian terdapat beberapa riwayat lainnya yang dapat kita mengambil pedoman dalam bab ini.

قَالَ أَنَسٌ: كَانَ قِرَامٌ لِعَائِشَةَ سَتَرَتْ بِهِ جَانِبَ بَيْتِهَا فَقَالَ لَهَا النَّبِيُّ ص: اَمِيْطِيْ قِرَامَكَ فَاِنَّهُ لاَ تَزَالُ تَصَاوِيْرُهُ تَعْرِضُ لِيْ فِي صَلاَتِيْ
Telah berkata Anas: Aisyah mempunyai tabir tipis yang dipasang sebagai penutup bahagian dinding rumahnya maka Nabi saw bersabda: Turunkan tabirmu itu kerana gambar-gambarnya menggangguku dalam solat
Riwayat Bukhari[1]

Iaitu dapat kita ambil kefahaman dari hadits ini bahawa biasa Rasulullah saw ketika dalam solatnya memandang ke hadapan iaitu ke arah tirai di mana terdapat gambar pada tirai tersebut yang mengganggu pandangan atau khusyuknya dalam solat maka Rasulullah saw perintahkan Aisyah menurunkan tirai tersebut. Dalam hadits lainnya Aisyah menerangkan:

اَنَّ النَّبِيَّ ص صَلَّى فِيْ خَمِيْصَةٍ لَهَا اَعْلاَمٌ فَقَالَ: شَغَلَتْنِيْ اَعْلاَمٌ هَذِهِ، اِذْهَبُوْا بِهَا اِلَى أَبِى جَهْمٍ وَأْتُوْنِيْ بِاَنْجَابِيَّةٍ
Bahawa Nabi saw bersolat dengan mengenakan pakaian dari bulu yang bergambar kemudian beliau saw bersabda: Gambar-gambar pakaian ini mengganggu perhatianku, kembalikanlah kepada Abu Jaham dan tukarlah dengan pakaian bulu kasar yang tidak bergambar
Riwayat Bukhari, Muslim dan Malik[2].

Hadits ini pula menjelaskan bahawa gambar-gambar pada baju Rasulullah saw telah mengganggu khusyuknya dalam solat iaitulah apabila pandangan mata Rasulullah saw tertumpu pada gambar-gambar tersebut. Manakala di ketika duduk tasyahud, dijelaskan dalam sebuah hadits, Rasulullah saw. memandang ke jari tangan yang ia isyaratkan iaitu jari telunjuk. Kita lihat haditsnya yang berbunyi :

عَنْ عَبْدِ اللهِ بْنِ الزُّبَيْرِ قَالَ كَانَ رَسُولُ الله ص اِذَا جَلَسَ فِي التَّشَهُّدِ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى فَخْذِهِ الْيُمْنَى وَيَدَهُ الْيُسْرَى عَلَى فَخْذِهِ الْيُسْرَى وَاَشَارَ بِالسَّبَابَةِ وَلَمْ يُجَاوِزْ بَصَرُهُ اِشَارَتَهُ
Abdullah bin Az-Zubair r.a. berkata : Adalah Rasulullah saw. apabila duduk tasyahud, meletakkan tangan kanannya atas paha kanannya dan tangan kiri atas paha kirinya, beliau mengisyaratkan dengan telunjuknya, sedang pandangan matanya tidak melampaui ke tempat isyarat itu.
Riwayat Ahmad, An-Nasaie dan Abi Daud.

Kita renungkan hadits lainnya:

عَنْ اَبِى مُوْسَى الأَشْعَرِيّ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص خَطَبَنَا فَبَيَّنَ لَنَا سُنَّتَنَا وَعَلَّمَنَا صَلاَتَنَا وَقَالَ: اِذَا صَلَّيْتُمْ فَأَقِيْمُوْا صُفُوْفَكُمْ ثُمَّ لِيَؤُمَّكُمْ اَحَدُكُمْ فَاِذَا كَبَّرَ فَكَبِّرُوْا فَاِذَا قَرَأَ فَأَنْصِتُوْا وَاِذَا قَالَ غَيْرِ الْمَغْضُوْبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ الضَّالِّيْنَ فَقَالُوْا آمِيْنَ يُجِبْكُمُ اللهُ وَاِذَا كَبَّرَ وَرَكَعَ فَكَبِّرُوْا وَارْكَعُوْا فَاِنَّ الاِمَامَ يَرْكَعُ قَبْلَكُمْ وَيَرْفَعُ قَبْلَكُمْ قَالَ رَسُوْلُ الله فَتِلْكَ بِتِلْكَ فَاِذَا قَالَ سَمِعَ الله لِمَنْ حَمِدَهُ فَقُوْلُوْا اَللَّهُمَّ رَبَّنَا لَكَ الْحَمْدُ يَسْمَعُ لَكُمُ اللهُ فَاِنَّ اللهَ قَالَ عَلَى لِسَانِ نَبِيِّهِ سَمِعَ اللهُ لِمَنْ حَمِدَهُ وَاِذَا كَبَّرَ وَسَجَدَ فَكَبِّرُوْا وَاسْجُدُوْا فَاِنَّ الاِمَامَ يَسْجُدُ قَبْلَكُمْ وَيَرْفَعُ قَبْلَكُمْ قَالَ رَسُوْلُ الله فَتِلْكَ بِتِلْكَ ......
Daripada Abu Musa Al-Asy'ari ia berkata: Bahawa Rasulullah saw berkhutbah kepada kami dan menerangkan kepada kami sunnah-sunnah dan mengajarkan kami solat dan beliau saw bersabda: Apabila kamu solat maka tegakkan (luruskan) barisan-barisanmu (shaf-shafmu) kemudian hendaklah seseorang daripada kamu mengimami kamu sekalian maka apabila ia (imam) telah bertakbir maka bertakbirlah kamu sekalian, maka apabila ia (imam) membaca maka hendaklah kamu sekalian diam, apabila ia membaca ghairil maghdhuubi 'alaihim waladh dhaaliin maka kamu sekalian ucapkan aamin, nescaya Allah perkenankanmu, apabila imam bertakbir dan ruku', maka bertakbirlah dan rukuk'lah kamu  kerana sesungguhnya imam mengerjakan ruku' sebelum ruku'mu dan ia mengangkat kepalanya (beri'tidal) sebelum kamu mengangkat kepala. Rasul saw bersabda; "itu dengan itu".  Dan apabila imam membaca sami'allahu liman hamidah. Bacalah "allahuma rabbana lakalhamdu, supaya Allah mendengarmu. Allah telah berfirman dengan perantaraan lidah Nabi-Nya Sami'allahu liman hamidah.  Dan apabila imam telah bertakbir dan bersujud, maka bertakbirlah dan bersujudlah kamu maka sesungguhnya imam bersujud dan mengangkat kepalanya sebelum kamu mengangkatnya. Rasul saw bersabda: "itu, dengan itu"……
Riwayat Ahmad, Muslim, An-Nasaie dan At-Tirmidzi

عَنْ اَنَسٍ قَالَ صَلَّى بِنَا رَسُوْلُ الله ص ذَاتَ يَوْمٍ فَلَمَّا قَضَى الصَّلاَةَ اَقْبَلَ عَلَيْنَا بِوَجْهِهِ فَقَالَ اَيُّهَا النَّاسُ اِنِّيْ اِمَامُكُمْ فَلاَ تَسْبِقُوْنِيْ بِالرُّكُوْعِ وَلاَ بِالسُّجُوْدِ وَلاَ بِالْقِيَامِ وَلاَ بِالاِنْصِرَافِ ...
Daripada Anas ia berkata: Rasulullah saw bersolat mengimami kami pada suatu hari, setelah selesai solat beliau menghadapkan wajahnya kepada kami lalu bersabda: Wahai manusia, sesungguhnya aku imam kamu semua, maka jangan kamu semua mendahuluiku ketika ruku', ketika sujud, ketika berdiri dan ketika menyudahi solat ….
Shahih riwayat Muslim

Sesungguhnya terdapat kecaman yang keras daripada Rasulullah saw bagi para makmum yang mendahului imam. Bersabda Rasulullah saw:

اَمَا يَخْشَى الَّذِيْ يَرْفَعُ رَأْسَهُ قَبْلَ الاِمَامِ اَنْ يُحَوِّلَ اللهُ رَأْسَهُ رَأْسَ حِمَارٍ
Apakah orang-orang yang mengangkat kepalanya lebih dahulu dari imam tidak takut bahawa akan ditukarkan kepala mereka dengan kepala keldai?
Shahih riwayat Muslim

Hadits ini menerangkan tentang aturan bersolat jemaah bahawa makmum itu perlu mengikuti imam, bukan makmum melakukan perbuatan solat serentak dengan perbuatan imam atau hampir seiring dengan perlakuan imam akan tetapi setelah imam sempurna melakukan sesuatu rukun seperti ruku', i'tidal dan sujud maka barulah makmum mengikut perbuatan imam tersebut. Maka untuk makmum itu mengetahui pergerakan imam, tidak dapat tidak mestilah ia melihat ke arah imam untuk memastikan telah sempurna perbuatan imam itu. Inilah yang dapat difahami dari hadits Rasulullah di atas bahawa imam itu bertakbir dan ruku' sebelum makmum, beri'tidal sebelum makmum, bersujud sebelum makmum dan makmum melakukan setelah imam sempurna perbuatannya. Maka diambil kefahaman dari hadits ini bahawa makmum itu boleh melihat ke arah imam untuk memastikan telah sempurna ruku' imam maka barulah kita (sebagai makmum) ruku' dan begitulah juga sujudnya apabila telah sempurna sujudnya (imam) barulah kita sujud.

Maka apa yang dapat saya simpulkan di sini bahawa hendaklah pandangan kita itu dalam solat kerana kita bersolat dan perlu kepada penumpuan iaitu khusyuk iaitu tidak semestinya pandangan itu ke tempat sujud tetapi boleh memandang selagi tidak sampai lalai atau mengganggu akan khusyuk solat yang kita lakukan. Firman Allah dalam surah Al-Maa'uun ayat 4-5 [107:4-5]
فَوَيْلٌ لِلْمُصَلِّيْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ عَنْ صَلاَتِهِمْ سَاهُوْنَ
Maka kecelakaan bagi orang-orang yang solat iaitu mereka yang lalai dari solatnya

FirmanNya lagi: Surah Al-Mukminuun ayat 1-2 [23:1-2]

قَدْ اَفْلَحَ الْمُؤْمِنُوْنَ * الَّذِيْنَ هُمْ فِيْ صَلاَتِهِمْ خَاشِعُوْنَ
Sesungguhnya telah berjaya orang-orang yang beriman iaitu mereka yang khusyuk dalam solatnya

Demikianlah sekadar kefahaman yang dapat disampaikan dalam bab ini dengan bersandarkan keterangan-keterangan dari hadits Rasulullah saw.

Larangan berpaling muka dalam solat

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ: قَالَ لِيْ رَسُوْلُ الله ص: اِيَّاكَ وَالاِلْتِفَاتَ فِي الصَّلاَةِ فَاِنَّ الاِلْتِفَاتَ فِي الصَّلاَةِ هَلَكَةٌ فَاِنْ كَانَ لاَ بُدَّ فَفِي التَّطَوُّعِ لاَ فِي الْفَرِيْضَةِ
Daripada Anas bin Malik ia berkata: Telah bersabda kepadaku Rasulullah saw: Jauhkanlah dirimu dari berpaling-paling dalam solat kerana berpaling-paling dalam solat itu kebinasaan. Jika tidak dapat tidak (perlu berpaling) maka dalam solat sunat, jangan dalam solat fardhu
Riwayat At-Tirmidzi

Hadits ini melarang orang yang bersolat berpaling-paling mukanya dalam solatnya, sekejap berpaling mukanya ke kanan kemudian ke kiri kemudian ke kanan dan sebagainya. Bahawa berpaling itu sekali-kali tidak boleh dilakukan dalam solat fardhu dan adapun dalam solat sunat, sekiranya amat perlu maka boleh berpaling di mana para ulama mengambil kefahaman dari hadits ini hanya sekali sahaja yang dibenarkan berpaling (dalam solat sunat). Sesungguhnya berpaling ini adalah dari sambaran syaitan sebagaimana sabda Rasulullah saw:

عَنْ عَائِشَةَ قَالَتْ: سَاَلْتُ رَسُوْلَ الله ص عَنِ التَّلَفُّتِ فِي الصَّلاَةِ فَقَالَ: اِخْتِلاَسٌ يَخْتَلِسُهُ الشَّيْطَانُ مِنْ صَلاَةِ الْعَبْدِ
Daripada Aisyah ia berkata: Aku bertanya Rasulullah saw tentang berpaling-paling dalam solat maka beliau saw bersabda: Itu suatu sambaran daripada syaitan terhadap solat seorang hamba (manusia)
Riwayat Ahmad, Bukhari, An-Nasaie dan Abu Daud

Bersolat dengan memejamkan mata
Dalam bab ini, tiadalah saya peroleh keterangan daripada Rasulullah saw bahawa beliau memejamkan matanya ketika solat. Sebahagian ulama memandang makruh solat dengan memejamkan mata dan sebahagiannya membolehkannya tanpa makruh sama sekali. Berkata Ibnul Qayyim: Yang benar ialah; kalau dengan membuka mata itu tidak menghalang kekhusyukkan maka itu lebih utama. Tetapi kalau dengan itu jadi terganggu, misalnya di depannya ada ukiran, lukisan dan lain-lain maka memejamkan mata itu tidak saja diperbolehkan bahkan jika ditinjau dari kehendak syara', lebih kuatlah dikatakan sunat sunat daripada makruh[3].
الله اعلم


[1] Hadits yang hampir semakna dengan hadits di atas juga ada diriwayatkan oleh Muslim dan Abu 'Uwanah di mana dikhabarkan bahawa Rasulullah saw bersolat dengan menghadap ke arah kain bergambar tersebut. Rujuk Fathul Bari untuk penjelasan lanjut.
[2] Disebutkan dalam riwayat lainnya bahawa Rasulullah saw telah melihat kepada gambar/tanda di bajunya hingga menyebabkan terganggu khusyuknya Rasulullah saw. Rujuk Sifat Solat Nabi oleh Muhammad Nashiruddin Al-Albani dalam Bab melihat tempat sujud dan khusyuk.
[3] Dipetik dari kitab Fiqh Sunnah pada Bab Hal-hal yang dimakruhkan dalam solat; Memejamkan mata

Sifat Solat Nabi: Sekitar Cara Sedekap (5)


Bab sedekap, meletakkan tangan kanan atas tangan kiri

Menurut hadits daripada Wail bin Hujr yang berbunyi :

عَنْ عَلْقَمَةَ بْنِ وَائِلٍ قَالَ: اِنَّ وَائِلَ ابْنِ حُجْرٍ رَاَى النَّبِيَّ ص رَفَعَ يَدَيْهِ حِيْنَ دَخَلَ فِي الصَّلاَةِ وَكَبَّرَ ثُمَّ الْتَحَفَ بِثَوْبِهِ ثُمَّ وَضَعَ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى
“Daripada Alqomah bin Wail ia berkata: Bahawa Wail bin Hujr pernah melihat Nabi saw. mengangkat tangannya ketika ia masuk dalam solat dan bertakbir, kemudian menyelimutkan pakaiannya, lalu meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri……”
Riwayat Ahmad dan Muslim.

Hadits ini menjelaskan bahawa sedekap itu ialah diletakan tangan kanan di atas tangan kiri. Untuk menjelaskannya lagi, kita lihat hadits lainnya.

عَنْ سَهْلِ بْنِ سَعْدٍ قَالَ: كَانَ النَّاسُ يُؤْمَرُوْنَ اَنْ يَضَعَ الرَّجُلُ الْيَدُ الْيُمْنَى عَلَى ذِرَاعِهِ الْيُسْرَى فِي الصَّلاَةِ
Daripada Sahl bin Sa'ad ia berkata: Adalah para sahabat disuruh meletakkan tangan kanan atas hasta tangan kiri dalam solat
Riwayat Ahmad dan Bukhari

Daripada Hulb ath-Thai katanya:

رَاَيْتُ النَّبِيَّ ص يَضَعُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ فَوْقَ الْمِفْصَلِ
Aku melihat Nabi saw meletakkan (tangan) kanan atas (tangan) kiri di atas dada di pergelangan (tangan)
Riwayat Ahmad dan dihasankan oleh At-Tirmidzi

Kita perincikan dengan hadits seterusnya yang berbunyi:

وَفِيْ رِوَايَةٍ لأَحْمَد وَاَبُو داود: ثُمَّ وَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى كَفِّهِ الْيُسْرَى وَالرُّسْغِ وَالسَّاعِدِ
 “Dan dalam satu riwayat bagi Ahmad dan Abu Daud : Kemudian ia meletakkan tangan kanannya di atas telapak tangannya yang kiri, di atas pergelangan dan lengan.”

كَانَ يَضَعُ الْيُمْنَى عَلَى ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى وَالرُّسْغِ وَالسَّاعِدِ

Adalah beliau (Rasulullah saw) meletakkan tangan kanannya atas belakang tapak tangannya yang kiri, pergelangannya dan lengan
Riwayat Abu Daud, Nasaie dan Ibnu Khuzaimah dengan sanad yang shahih dan dishahihkan juga Ibnu Hibban

Dari hadits-hadits yang telah kita bincangkan maka dapatlah kita mengatakan tentang sifat bersedekap iaitulah dengan :
Meletakkan (perut) telapak tangan kanan ke atas belakang telapak tangan kiri, memegang pergelangan tangan dengan jari kelingking dan ibu jari dan tiga jari lagi dihamparkan ke lengan. Ini diambil kefahaman dari hadits di atas yang padanya dinyatakan :
 Belakang tapak tangan yang kiri     ظَهْرِ كَفِّهِ الْيُسْرَى
di atas pergelangan tangan kiri  الرُّسْغ
 lengan السَّاعِد

Manakala sifat memegang itu berdasarkan hadits yang berbunyi:

كَانَ اَحْيَانًا يَقْبِضُ بِالْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى

 “Dan terkadang beliau saw  menggenggamkan tangan kanannya atas tangan kiri.”
Riwayat Nasai, Daraquthni dengan sanad sahih. Rujuk : Sifat Solaah An-Nabiy --karya Muhammad Naasiruddin Al-Baani.

Berdasarkan dua hadits tersebut di atas, terdapat di kalangan ulama yang mengambil kesimpulan bahawa ada kalanya Nabi saw. hanya meletakkan tangan (kanan) sahaja di belakang tapak tangan kiri, pergelangan tangan dan lengan yang kiri dan ada kalanya beliau mengenggam tangannya dan kita mengambil faham lebih tepat genggaman itu di atas tempat yang disunnahkan.
الله اعلم

Tempat letak tangan semasa sedekap

Terpecah ulama dalam bab ini kepada tiga kumpulan yang masyhur iaitu :

1)      Meletak tangan itu di atas dada, iaitu betul-betul atas dada berhampiran leher.
2)      Meletak tangan itu di bawah pusat.
3)      Meletak tangan itu, atas dada bawah pusat  iaitu di ulu hati di mana cara ini terhasil dengan menggabungkan kesekian hadits dalam bab ini.

Dalam masalah ini, disebutkan oleh ulama bahawa terdapat sebanyak 20 buah hadits yang diriwayatkan oleh 18 orang sahabat Rasulullah saw. dan tabi’in yang di dalamnya terdapat dua keadaan yang bertentangan iaitu ada riwayat yang mengatakan tangan itu tempatnya bawah pusat dan ada riwayat yang mengatakan tempatnya atas dada. Maka di antara hadits ini ada yang sahih, ada yang hasan dan ada yang dhaif.

Jadi marilah kita menilaikan amal ibadah kita dengan ilmu bukan bersandarkan taklied di mana kita tahu di tempat keluarnya amalan yang kita kerjakan. Kita mulakan dengan hadits pertama :

عَنْ وَائِل بْنِ حُجْرٍ قَالَ صَلَّيْتُ مَعَ رَسُولِ الله  فَوَضَعَ يَدَهُ الْيُمْنَى عَلَى الْيُسْرَى عَلَى صَدْرِهِ

Daripada Wail bin Hujr ia berkata : “Saya pernah bersolat beserta Nabi saw. maka beliau saw  meletakkan tangan kanannya atas tangan kirinya di dada.”
Riwayat Ibnu Khuzaimah dengan darjat shahih.

Hadits ini menjelaskan tangan itu diletakkan di dada yang diambil faham oleh segolongan ulama 'di dada' itu di atas dada. Kita lihat hadits seterusnya :

عَنْ عَلِيِّ ابْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ : اِنَّ مِنَ السُّنَّةِ وَضْعَ الْكَفِّ فَوْقَ الْكَفِّ تَحْتَ السُّرَّةِ

Daripada Ali bin Abu Thalib menerangkan:“Bahawa dari sunnah Rasul ialah : Meletakkan tangan atas pergelangan tangan kiri di bawah pusat.”
Riwayat Ahmad dan Abu Daud

Hadits ini lemah kerana di dalamnya terdapat seorang perawi yang bernama Abdur Rahman ibn Ishak Al-Kufi. Berkata Abu Daud: Aku mendengar Ahmad bin Hanbal melemahkan orang ini. Kata Al-Bukhari: Orang ini harus diselidiki lebih jauh keadaannya. An-Nawawi menegaskan bahawa segenap ahli hadits memandang lemah Abdur Rahman ini.
Rujukkan : Koleksi Hadits Hadits Hukum 3 m.s.29.

Berdasarkan hadits-hadits seperti di atas maka keluarlah pandangan-pandangan sehingga terpecah kepada tiga kumpulan yang masyhur.

Kesimpulannya, untuk menyelesaikan masalah ini marilah kita lihat hujah ulama ahli hadits dalam bab ini :

Berkata An-Nawawi di dalam syarah Muslim, bahawa mazhab ulama Syafi’iah dan Jumhur ulama mengambil pandangan dari hadits-hadits yang banyak dalam bab ini, ialah meletakkan tangan di bawah dada di atas pusat (bukan di atas perut).

Dalam kitab ‘Fi Bayaan Kathiir Min Al-Akhtaa’Asy-Syaa’i’ah : susunan Saalih b. Abdul Aziiz Aal Asy-Syaikh – Telah dinyatakan hujah tentang hadits ‘tangan atas dada’ :
Iaitu Rasulullah saw. meletakkan tangan atas dada adalah bersumberkan hadits bertaraf hasan yang banyak salurannya dan sebahagiannya menguatkan yang lain, iaitu dengan cara meletakkannya di tengah-tengah dada yang mendekati letaknya hati (ulu hati), bukan  bahagian bawah yang mendekati pusat atau pada perut, dan bukan pula pada bahagian terkeatas sekali (mendekati leher).

Untuk menjelaskan lagi masalah ini kita jelaskan tafsiran Ali dan Ibnu Abbas dalam bab ‘atas dadameneliti tafsiran mereka di atas ayat :
فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ
“Maka solatlah kamu  dan nahar-lah (kurbanlah)”
Surah Al-Kautsar ayat 2  [108:2]

Tafsiran Ali dan Ibnu Abbas:
“Maka solatlah kamu untuk Tuhanmu dan letakkanlah tanganmu atas tempat meletakkan kalung di dada”.
Riwayat Ad-Daruqutni, Al-Baihaqi dan Al-Hakim. Kata Al-Hakim: Inilah sebaik-baik ta’wil bagi ayat-ayat ini

Dalam Kamus Al-Misbahun Munir, ‘NAHR’ itu bererti tempat kalung. Yang lazimnya tempat kalung itu di ‘ulu hati’ iaitu bawah daripada dada. Demikianlah yang dapat saya jelaskan dari hal keterangan letaknya tangan semasa sedekap. Pendapat terkuat dalam hal ini bersandarkan keterangan dari kesimpulan hadits-hadits yang banyak ialah letak tangan itu adalah atas dada (di ulu hati) bawah pusat, bukan atas perut bawah pusat dan bukan atas dada hampir kepada leher.
الله اعلم

Dalam 3 bab yang kita bincangkan pada siri ke-4 ini, saya cuba merujuk pada sekian banyak guru dan kitab-kitab rujukan namun masih tidak mendapat jawapan yang memuaskan atau benar-benar jelas di mana dengan itu saya kembali kepada hujah ulama dengan bersandarkan hadits-hadits yang dibawakan (mereka) oleh para ulama sebagai hujah untuk sama-sama menjadi renungan kita. Maka jika apa-apa yang disampaikan ini bertentangan dengan Al-Quran dan hadits maka tinggalkanlah. Pandangan-pandangan ulama yang dimasukkan dalam teks ini bukan bertujuan untuk kita bertaklid padanya tapi sekadar meluaskan skop perbincangan dalam tajuk tersebut. Jika kita ingin berpegang dengan pandangan ulama maka terlebih dahulu mesti kita ketahui alasan-alasannya kerana sesungguhnya bertaklid (mengikut membuta tuli tanpa mengetahui dalil) adalah sesuatu yang dilarang syara' sebagaimana firman Allah:

وَلاَ تَقْفُ مَا لَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ اِنَّ السَّمْعَ وَالْبَصَرَ وَالْفُؤَادَ كُلُّ اُولَئِكَ كَانَ عَنْهُ مَسْؤُولاً

“Janganlah kamu mengikuti (membuat pendirian) apa yang kamu tidak ada ilmu (mengetahui) tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati semuanya akan di pertanggungjawab.”
Surah Al-Isra’ ayat 36 [17:36]

Sifat Solat Nabi: Seputar Takbir dan Masa Angkat Tangan (4)


Waktu membaca takbir di kala takbiratul-ihram

Kita masuk pada bab waktu membaca Takbir dalam Takbiratul ihram. Terpecah ulama kepada tiga pandangan dalam bab ini sebagaimana berikut:
-   Tangan diangkat bersamaan dengan takbir
-   Tangan diangkat sebelum takbir
-   Tangan diangkat sesudah takbir

Untuk itu marilah kita bersama-sama merujuk keterangan-keterangan dari bab ini.

1. Dalil tangan diangkat bersamaan dengan takbir

عَنْ نَافِعٍ مَوْلَى ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اِنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ اِذَا دَخَلَ فِي الصَّلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ ..... وَرَفَعَ ذَلِكَ ابْنُ عُمَرَ اِلَى النَّبِيِّ ص
Daripada Nafi' maula Ibnu Umar ia berkata: Bahawa Ibnu Umar apabila ia masuk ke dalam solat ia bertakbir dan mengangkat kedua tangannya ……. dan Ibnu Umar angkatkan perbuatan demikian (berasal) daripada Nabi saw
Riwayat Bukhari, Nasai dan Abu Daud

Hadits seterusnya berbunyi :

عَنْ عَبْدِ الْجَبَّار قَالَ: اِنَّ وَائِلَ ابْنَ حُجْرِ رَاَى رَسُولَ الله ص يَرْفَعُ يَدَيْهِ مَعَ التَّكْبِيْرِ

Abdul Jabbar ibn Wail menerangkan : “Bahawasanya Wail ibn Hujr melihat Rasulullah saw. mengangkat kedua-dua tangannya sambil bertakbir.”
Riwayat Ahmad dan Abu Daud[1].

Kita lihat hadits seterusnya yang berbunyi :

عَنْ عَلِيِّ ابْنِ اَبِيْ طَالِبٍ قَالَ: اِنَّ رَسُولَ الله ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوْبَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ...
 “Ali bin Abi Talib menerangkan : Bahawasanya Rasulullah saw. apabila telah bersiap untuk solat maktubah (fardu) beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya…”
Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Turmidzi. Menurut At-Tirmidzi hadits ini shahih.

2. Dalil tangan diangkat sebelum takbir

عَنِ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: كَانَ النَّبِيُّ ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى تَكُوْنَا بِحَذْوِ مَنْكِبَيْهِ ثُمَّ يُكَبِّرُ
Daripada Ibnu Umar katanya: Adalah Nabi saw apabila berdiri hendak solat beliau mengangkat kedua tangannya berbetulan dengan dua bahunya kemudian beliau bertakbir
Riwayat Bukhari dan Muslim

3. Dalil tangan diangkat sesudah takbir

عَنْ مَالِكِ ابْنِ الْحُوَيْرِث قَالَ: اِنَّ رَسُولَ الله ص كَانَ اِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا اُذُنَيْهِ...
Daripada Malik Ibnu Huwarits menerangkan : “Bahawasanya Rasulullah saw. apabila telah bertakbir beliau mengangkat kedua tangannya hingga berbetulan dengan kedua telinganya…..”
Riwayat Ahmad dan Muslim.
عَنْ مَالِكِ ابْنِ الْحُوَيْرِثِ: كَبَّرَ ثُمَّ رَفَعَ يَدَيْهِ
Daripada Malik bin Huwairits: Ia bertakbir kemudian mengangkat kedua tangannya
Riwayat Muslim

Pentarjihan
Sesungguhnya ketiga-tiga cara ini adalah bersandarkan hadits Rasulullah saw dan bahawa solat itu tetap sah walau diambil dari cara mana sekalipun (sebagaimana tersebut di atas) namun cara yang dipandang lebih utama iaitulah dengan bersandarkan kekuatan dan banyaknya riwayat ialah mengangkat tangan itu bersamaan dengan takbir. Ulama-ulama Syafi'iyah berpegang kepada hadits dianjurkan kita mengangkat tangan bersamaan dengan takbir di mana pentarjihan oleh ulama Syafi'iyah ini disetujui oleh ulama-ulama Malikiyah.

Berkata An-Nawawi dalam syarah Muslim : “Mengangkat tangan dikala bertakbir (takbirratul ihram), disyariatkan”

Daud dan Ibnu Hazm berkata : “Mengangkat tangan dikala bertakbiratul ihram, adalah fardu. Demikianlah pendapat sekian banyak ulama Ahlul Hadits dari bab ini seperti : Abul Hasan, Ahmad ibn Sayyar, An-Naisabury (dari ulama Syafi’iah), Al-Auzai, Al-Humaidi (guru Al-Bukhari) dan Ibnu Khuzaimah (seorang ulama besar yang terkenal dalam kalangan Syafi’iah).

Berkata Al-Hafizh Ibnu Hajar : “Menurut pendapat sebahagian ulama Hanafiah, bahawa Abu Hanifah memandang berdosa orang yang tiada mengangkat tangan ketika bertakbiratul ihram.” Rujukkan : Koleksi Hadis Hadis Hukum 3.

Demikianlah keterangan keterangan dari hadits-hadits juga ulasan para ulama dari hal mengangkat tangan ketika takbiratul-ihram. Inilah cara yang kuat dan masyhur dari cara bertakbiratul ihram iaitu tidak dipisahkan keduanya.
الله اعلم


[1] Menurut pengarang 'Aunul Ma'bud, hadits ini munqathi'. Wail bin Hujr mempunyai dua orang anak iaitu Abdul Jabbar dan Alqomah bahawa Abdul Jabbar ini tiada mendengar hadits daripada bapanya yakni Wail bin Hujr manakala Alqomah maka ia ada mendengar hadits daripada bapanya. Menurut At-Tirmidzi: Alqomah bin Wail lebih tua daripada Abdul Jabbar dan Abdul Jabbar ini tiada mendengar daripada bapanya. Untuk lebih lanjut, rujuk 'Aunul Ma'bud Syarh Sunan Abi Daud oleh 'Allamah Abi ath-Thayyib Muhammad Syamsul Haq al-Adzim Aabadi dengan ta'liq daripada Ibnu Qayyim Al-Jauziyah dalam Kitab Solat pada Bab Mengangkat Kedua Tangan Dalam Solat, juz kedua, halaman 214, Darul Fikr, Beirut Lubnan.

Thursday, March 20, 2014

Sifat Solat Nabi: Takbiratul Ihram dan Cara Angkat Tangan (3)

Takbiratul ihram
Menyebut  ALLAHU AKBAR itu dinamakan takbir dan takbir dipermulaan solat itu dinamakan Takbiratul ihram. Dalilnya adalah :

قَالَتْ عَائِشَةُ: كَانَ النَّبِيُّ ص يَسْتَفْتِحُ الصَّلاَةَ بِالتَّكْبِيْرِ
Telah berkata ‘Aisyah: ‘Adalah Nabi saw. memulai solat dengan takbir.’  S.R. Muslim.


Sabda Nabi saw. :
لاَ تَتِمُّ صَلاَةُ أَحَدٍ مِنَ النَّاسِ حَتَّى يَتَوَضَّأَ فَيَضَعُ الْوُضُوءَ موَاضِعَهُ ثُمَّ يَقُولُ اَللهُ أَكْبَرُ
“Tidak sah solat seseorang melainkan jika ia berwuduk, iaitu mencuci anggota wuduk sebagaimana mestinya, kemudian berkata ALLAHU AKBAR.”  H.S.R. Thabaranie.




Mengangkat  Tangan Semasa Takbir
Bagaimanakah cara mengangkat tangan dalam takbiratul-ihram?

Jika diteliti hadits-hadits dalam bab ini, bahawa kita akan dapati terdapat banyak riwayat yang menjelaskan tentang cara mengangkat tangan dalam takbiratul-ihram di mana jika kita renungkan sepintas lalu, seolah-olah setiap hadits bercanggah dengan keterangan hadits lainnya. Adapun cara mengangkat tangan yang dipakai / diamalkan oleh golongan terbesar dari ulama ialah:

“Mengangkat tangan itu setentang dengan kedua bahu hingga hujung-hujung jari itu sejajar dengan puncak kedua telinga dan kedua ibu jari setentang dengan hujung bawahnya (dua cuping telinga) serta kedua telapak tangan dengan kedua bahu.”[1]

Kita perhatikan dalil-dalil dalam bab ini satu-persatu.
Pertama: Dalil tentang kedua tangan diangkat ketika takbiratul-ihram.

عَنْ نَافِعٍ مَوْلَى ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اِنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ اِذَا دَخَلَ فِي الصَّلاَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ وَرَفَعَ ذَلِكَ اِلَى النَّبِيِّ ص

Daripada Nafi' maula Ibnu Umar ia berkata: Bahawa Ibnu Umar apabila memulai solat ia bertakbir dan mengangkat kedua tangannya, (bahawa perbuatan ini) dinyatakan berasal dari Nabi saw.

Riwayat Bukhari, Nasaie dan Abu Daud

Kedua: Dalil tentang kedua tangan diangkat memanjang.

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَة قَالَ كَانَ رَسُوْلُ الله ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ رَفَعَ يَدَيْهِ مَدًّا

Daripada Abu Hurairah ia berkata: Adalah Rasulullah saw apabila telah berdiri tegak untuk solat, beliau mengangkat kedua-dua tangannya memanjang lurus
Riwayat Ahmad, Abu Daud, Tirmizi & Nasaie – Asy-Syaukani mengatakan sanad hadits ini tiada mempunyai cacat apa-apa.

Dari hadits di atas, kita ketahui bahawa Rasulullah saw mengangkat kedua tangannya memanjang namun sehingga batas manakah diangkat tangan itu? Persoalan seterusnya; bagaimanakah untuk kita menetapkan batas tangan kerana sesungguhnya Rasulullah saw tidak memperincikan definisi tangan itu secara jelas ….
-   Apakah tangan itu bermula dari jari sehingga ke bahu
-   Apakah yang dimaksudkan dalam hadits bahawa tangan itu dari jari ke siku
-   Apakah yang dimaksudkan tangan itu dengan telapak tangan (jika yang dimaksudkan tangan itu adalah tapak tangan, mengapa tidak Rasulullah saw perincikan dalam haditsnya dengan kalimah kaffun كَفٌّ  yang bermaksud tapak tangan?

Kedua-dua hadits di bawah masih tidak jelas menerangkan tentang gambaran mengangkat kedua tangan, kita renungkan dalil-dalil berikut:

عَنْ عَلِيِّ ابْنِ اَبِى طَالِبٍ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ الْمَكْتُوْبَةِ كَبَّرَ وَرَفَعَ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ ...
Daripada Ali bin Abi Thalib ia berkata: Bahawa Rasulullah saw apabila berdiri untuk solat fardhu, beliau bertakbir dan mengangkat kedua tangannya bertentang dengan dua bahunya ….
Riwayat Ahmad, Abu Daud dan At-Tirmidzi. Menurut At-Tirmidzi, hadits ini shahih.

Hadits lainnya;

عَنْ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ قَالَ: اِنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ اِذَا كَبَّرَ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا اُذُنَيْهِ
Daripada Malik bin Huwairits ia berkata: Bahawa Rasulullah saw apabila bertakbir, beliau mengangkat kedua tangannya hingga berbetulan dengan dua telinganya …
Riwayat Ahmad dan Muslim

وَلِمُسْلِمٍ عَنْ مَالِكِ بْنِ الْحُوَيْرِثِ نَحْوُ حَدِيْثِ ابْنِ عُمَرَ، لَكِنْ قَالَ: حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا فُرُوْعَ اُذُنَيْهِ
Dan bagi Muslim daripada Malik bin Huwairits seperti hadits Ibnu Umar tetapi ia berkata: Hingga beliau (Rasulullah saw) hadapkan kedua (tangannya) berbetulan dengan hujung-hujung telinganya

Hadits Ali menerangkan kedua-dua tangan itu diangkat hingga berbetulan dengan kedua bahu manakala hadits Malik bin Huwairits pula menjelaskan tangan itu diangkat hingga berbetulan dengan kedua hujung telinga sebagaimana diperincikan dari lafaz Muslim. Sesungguhnya dalam bab ini terdapat banyak riwayat yang menerangkan tentang kedua-dua cara iaitu kedua tangan itu diangkat berbetulan dengan dua bahu dan kedua tangan diangkat berbetulan dengan hujung dua telinga namun masih lagi kita kurang jelas tentang bahagian tangan manakah yang berbetulan dengan bahu dan dua telinga.

عَنْ عَبْدِ الْجَبَّار بِنْ وَائِل عَنْ اَبِيْهِ قَالَ رَاَيْتُ رَسُوْلَ الله ص يَرْفَعُ يَدَيْهِ حِيْنَ افْتَتَحَ الصَّلاَةَ حَتَّى حَاذَتْ اِبْهَامُهُ شَحْمَهُ اُذُنَيْهِ
Daripada Abdul Jabbar bin Wail daripada bapanya ia berkata: Aku telah melihat Rasulullah saw beliau mengangkat tangannya di masa memulai solat sehingga bertentangan ibu jarinya dengan cuping telinga    
Musnad Ahmad jilid 4 hal. 318

عَنْ عَبْدِ الْجَبَّارِ بْنِ وَائِل عَنْ اَبِيْهِ اَنَّهُ اَبْصَرَ النَّبِيَّ ص حِيْنَ قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى كَانَتَا بِحَيَالِ مَنْكِبَيْهِ وَحَاذِيَ اِبْهَامَيْهِ اُذُنَيْهِ ثُمَّ كَبَّرَ
Dari Abdul Jabbar bin Wail daripada bapanya bahawa dia telah melihat Nabi saw. ketika bangun untuk solat dia mengangkat dua tangan sehingga bertentangan keduanya dengan dua bahunya dan dua ibu jarinya bertentangan dengan dua telinganya, kemudian dia bertakbir.”
Riwayat Ats-Tsauri, Syu’bah & Abu ‘Awanah Sunan Kubra jilid 2 hal. 25

Berdasarkan 2 hadits yang telah dijelaskan di atas dan hadits-hadits lainnya yang telah kita bincangkan, dapatlah kita membuat kesimpulan bahawa mengangkat kedua tangan itu hendaklah tinggi di mana batasnya adalah hujung jari bersamaan hujung telinga dan ibu jari bertentangan cuping yakni sebelah bawah telinga.

Maka inilah keterangan yang jelas menurut jumhur ulama As-Sunnah yang kuat, tetapi cara kedudukan tapak tangan semasa mengangkat tangan itu terpecah kepada dua pendapat yang masyhur iaitu :
1)      Mengangkat kedua tangan semasa takbiratul ihram itu dengan dihadapkan tapak tangan ke arah kiblat.
2)      Mengangkat dua tangan semasa takbiratul ihram itu dengan menghadapkan dua tapak tangan ke dua belah pipi.

Bagaimana timbulnya kedua-dua pendapat ini?
Kedua-dua cara ini adalah berdasarkan hadits yang sama cuma dari hadits tersebut, lahir dua kefahaman yang berbeza. Keterangan hadits menunjukkan kedua tangan itu diangkat hingga dua ibu jari bertentangan dengan cuping telinga dan hujung-hujung jari bertentangan dengan hujung telinga bahagian atas. Maka dari situ, timbullah dua cara sebagaimana yang telah disebut di atas.

Golongan pertama yang berfaham kedua tapak tangan dihadapkan ke arah kiblat mengambil pendirian bahawa hadits-hadits dalam bab ini tidak menjelaskan dua tapak tangan itu menghadap ke mana dan tidaklah terdapat larangan untuk menghadapkan tapak tangan ke kiblat, bahawa perbuatan yang demikian masih lagi berada atas kefahaman hadits.

Manakala golongan kedua yang berfaham bahawa kedua tapak tangan dihadapkan ke pipi mengambil kefahaman dari perkataan   تُحَاذِيَ  yang bermaksud   تُقَابَلَ   iaitu bertentangan/berhadapan, maka diambil faham berhadapannya ibu jari dengan cuping telinga dan berhadapannya hujung-hujung jari yang lainnya dengan hujung bahagian atas telinga.

Seterusnya mereka beralasankan sebuah hadits Abu Hurairah yang berbunyi :

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَةَ اَنَّهُ قَالَ اِذَا اسْتَفْتَحَ اَحَدُكُمُ الصَّلاَةَ فَلْيَرْفَعْ يَدَيْهِ وَلْيَسْتَقْبِلْ بِبَاطِنِهُمَا الْقِبْلَةَ اِلاَّ اَنَّهُ ضَعِيْفٌ
Daripada Abu Hurairah ia berkata: Apabila seorang kamu memasuki solat maka angkatlah kedua tangannya dan hadapkanlah (perut) tapak tangannya ke kiblat melainkan sesungguhnya perbuatan itu dhaif
Rujuk Sunan Kubra jilid 2 hal. 27

Iaitu Abu Hurairah memandang dhaif hadits atau pandangan yang mengatakan tapak tangan itu dihadapkan ke kiblat. Tidaklah saya peroleh mengapa perbuatan demikian dikatakan dhaif oleh Abu Hurairah, yang jelas ianya telah didhaifkan oleh seorang sahabat Rasulullah saw.

Saya cuba berikan kedua-dua hujah dalam bab ini sekadar kemampuan yang saya peroleh menurut As-Sunnah supaya tidaklah kita bertaklied kepada ulama tetapi kita sendiri mengetahui alasan-alasan yang benar dari Al-Quran dan As-Sunnah. Apa yang disampaikan oleh ulama yang berdasarkan pada Al-Quran dan Sunnah Rasul saw yang sahih dan kuat keterangannya maka kita ambillah sebagai ilmu untuk kita beramal.

Terdapat sebuah hadits yang menyatakan tentang mengangkat tangan separas bahu dengan belakang tangan dihadapkan ke bahu, bahawa menurut riwayat Abu Daud daripada ‘Ashim bin Kulaib daripada ayahnya dan Wail bin Hujr, sesungguhnya ia (Nabi saw) merapatkan antara (jari-jari) kedua tangannya itu dan Wail berkata :

حَتَّى يُحَاذِيَ بِظَهْرِ كَفَّيْهِ الْمَنْكِبَيْنِ وَاَطْرَافِ اَنَامِلِهِ الأُذُنَيْنِ
Sehingga berbetulan punggung/belakang kedua tapak tangannya itu dengan dua bahu dan hujung-hujung jarinya dengan dua telinga

Penjelasan tentang hadits ini ialah ianya bertentangan dengan hadits-hadits lainnya yang menjelaskan tangan itu diangkat memanjang dan pengamalannya tidak mencakup pada keseluruhan hadits-hadits dalam bab ini. Tidaklah tangan yang dimaksudkan dalam hadits hadits lainnya bermaksud jari-jari atau tapak tangan, contohnya seperti:

وَفِيْ حَدِيْثِ اَبِيْ حُمَيْدٍ عِنْدَ اَبِيْ دَاوُدَ: يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَتَّى يُحَاذِيَ بِهِمَا مَنْكِبَيْهِ
Dan tersebut pada hadits Abu Humaid dalam riwayat Abu Daud: Ia (Rasulullah saw) mengangkat dua tangannya hingga ia hadapkan keduanya kepada dua bahunya

عَنِ ابْنِ عُمَرَ اَنَّ النَّبِيَّ ص كَانَ يَرْفَعُ يَدَيْهِ حَذْوَ مَنْكِبَيْهِ اِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ وَاِذَا كَبَّرَ لِلرُّكُوْعِ وَاِذَا رَفَعَ رَأْسَهُ مِنَ الرُّكُوْعِ
Daripada Ibnu Umar bahawa Nabi saw mengangkat dua tangannya berbetulan dengan dua bahunya apabila memulai solat dan (mengangkat tangan) apabila bertakbir buat ruku’ dan apabila mengangkat kepala dari ruku’
Muttafaq ‘Alaih

Hadits-hadits itu tidak bermaksud tangan itu adalah jari-jari atau tapak tangan atau dari hujung jari hingga pergelangan tangan kerana hadits-hadits lainnya ada memperincikan menjelaskan tentangnya:

عَنْ عَبْدِ الْجَبَّارِ بْنِ وَائِل عَنْ اَبِيْهِ اَنَّهُ اَبْصَرَ النَّبِيَّ ص حِيْنَ قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ رَفَعَ يَدَيْهِ حَتَّى كَانَتَا بِحَيَالِ مَنْكِبَيْهِ وَحَاذِيَ اِبْهَامَيْهِ اُذُنَيْهِ ثُمَّ كَبَّرَ
Dari Abdul Jabbar bin Wail daripada bapanya bahawa dia telah melihat Nabi saw. ketika bangun untuk solat dia mengangkat dua tangan sehingga bertentangan keduanya dengan dua bahunya dan dua ibu jarinya bertentangan dengan dua telinganya, kemudian dia bertakbir.”
Riwayat Ats-Tsauri, Syu’bah & Abu ‘Awanah Sunan Kubra jilid 2 hal. 25

عَنْ عَبْدِ الْجَبَّار بِنْ وَائِل عَنْ اَبِيْهِ قَالَ رَاَيْتُ رَسُوْلَ الله ص يَرْفَعُ يَدَيْهِ حِيْنَ افْتَتَحَ الصَّلاَةَ حَتَّى حَاذَتْ اِبْهَامُهُ شَحْمَهُ اُذُنَيْهِ
Daripada Abdul Jabbar bin Wail daripada bapanya ia berkata: Aku telah melihat Rasulullah saw beliau mengangkat tangannya di masa memulai solat sehingga bertentangan ibu jarinya dengan cuping telinga    
Musnad Ahmad jilid 4 hal. 318

Daripada hadits-hadits yang telah kita bincangkan, dapatlah disimpulkan bahawa mengangkat tangan di kala takbiratul-ihram  itu bukan ditujukan sekadar hujung-hujung jari sehingga pergelangan tangan tetapi makna tangan tersebut mencakupi dari jari-jari sehingga lengan.

Berkata An-Nawawi : “Cara mengangkat tangan menurut mazhab orang lain, ialah : Mengangkat tangan hingga setentang dengan telinga. Dua ibu jari bertentangan dengan tempat menyangkutkan subang dan dua tangan setentang dengan dua bahu. Pendapat inilah yang diakui oleh semua ulama. Dan dengan cara ini pula terkumpullah segala hadits  yang bersangkutan dengan cara mengangkat tangan.”
Ruj.-Koleksi Hadits Hadits Hukum 3 m.s.20.

Itulah anjuran imam An Nawawi, bahawa untuk mendapat sifat mengangkat tangan dalam takbir itu hendaklah dihimpunkan hadits-hadits yang boleh dibuat alasan dan dibentuk cara bertakbir itu dan hasilnya adalah mengangkat tangan setentang dengan telinga di mana hujung-hujung jari bersamaan dengan hujung telinga bahagian atas dan ibu jari bersamaan anak telinga. Demikianlah yang dapat saya peroleh dari pencarian saya dalam bab ini.

Bahawa dalam bab ini dengan keterangan-keterangan yang telah diberikan, saya cenderung dan yakin pada mengangkat tangan itu dengan dihadapkan tapak tangan ke muka di mana ibu jari bertentangan dengan bawah cuping telinga (tempat digantungkan subang) dan hujung-hujung jari bertentangan (menghadap) hujung telinga manakala tangan (dari pergelangan tangan hingga ke lengan) berbetulan dengan dua bahu. Maka inilah cara yang menurut keyakinan saya bersih dari pertikaian.
الله اعلم

Sifat jari ketika mengangkat tangan dalam takbiratul-ihram

عَنْ اَبِيْ هُرَيْرَة اَنَّ رَسُوْلَ الله ص كَانَ اِذَا افْتَتَحَ الصَّلاَةَ نَشَرَ اَصَابِعَهُ نَشْرًا

Daripada Abu Hurairah sesungguhnya Rasulullah saw apabila masuk ke dalam solat beliau menjarangkankan jari-jari        -Sunan Kubra jilid 2 hal. 27-

عَنْ سَعِيْدِ بْنِ سَمْعَانِ قَالَ دَخَلَ عَلَيْنَا اَبُوْ هُرَيْرَة مَسْجِدَ بَنِيْ زُرَيْقٍ فَقَالَ ثَلاَثٌ كَانَ رَسُولُ الله ص يَعْمَلُ بِهِنَّ تَرَكَهُنَّ النَّاسُ كَانَ اِذَا قَامَ اِلَى الصَّلاَةِ قَالَ هَكَذَا وَاَشَارَ اَبُوْ غَامِرِ بِيَدَيْهِ وَلَمْ يَفْرِجْ بَيْنَ اَصَابِعِهِ وَلَمْ يَضُمْهَا
Daripada Said bin Sama’an dia berkata: Abu Hurairah telah masuk berjumpa kami di masjid Bani Zuraiq maka dia berkata tiga kali bahawa Rasulullah saw melakukan semuanya itu, orang ramai meninggalkannya, dia berkata begini, kemudian Abu Ghamir menunjukkan tangannya dan tidak merenggangkan jari-jarinya dan tidak pula merapatkannya.     – Sunan Kubra jilid 2 muka 27-


Kesimpulan
Sesungguhnya manusia tidak dapat lari dari perbezaan faham antara seseorang dengan seseorang yang lain. Apa yang penting, janganlah kita jadikan perbezaan faham ini sebagai satu titik untuk memecah-belahkan perpaduan sesama umat Islam. Jangan kita saling menyalahkan atau saling memperkecilkan pendapat antara satu sama lain jika masing-masing pendapat ada dalilnya yang dapat dijadikan hujjah. Ikhlaskanlah diri dalam menuntut ilmu, bukan untuk menegakkan pandangan sendiri tetapi berpegang pada yang jelas dan terang keterangannya. Kembalilah kepada perintah Allah iaitu dengan berpegang pada Al-Quran dan hadits Rasul saw. Ingatlah peringatan daripada Rasulullah saw.:
كُلُّ بَنِيْ آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ خَطَّائِيْنَ التَّوَّابُوْنَ
“Setiap anak Adam membuat kesilapan dan sebaik baik orang yang melakukan kesilapan adalah mereka yang bertaubat.”
Riwayat Ahmad dengan darjat hasan

Manusia itu tiada yang sempurna, masing-masing ada kelebihan dan kekurangannya. Maka apa yang disampaikan di sini, inilah keterangan yang terbaik yang dapat saya bawakan.
الله اعلم




[1] Dipetik dari Kitab Fiqh Sunnah pada Bab Shalat; Sunat-Sunat Shalat; Mengangkat Kedua Belah Tangan.

Sifat Solat Nabi: Berdiri Menghadap Kiblat (2)

Berdiri tegak dan menghadapkan badan ke arah qiblat adalah berdalil daripada sabda Rasulullah saw.:
صَلِّ قَائِمًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا فَاِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ
“Solatlah dengan berdiri, tetapi kalau tidak boleh, maka solatlah dengan duduk dan kalau tidak boleh, maka solatlah dengan berbaring.”   H.R. Tirmidzi.

Sabda Rasulullah saw. lagi :
إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَاَسْبِغِ الْوُضُوءَ ثُمَّ اسْتَقْبِلِ الْقِبْلَةَ فَكَبِّرْ
“Apabila engkau ingin mendirikan solat, hendaklah engkau sempurnakan wuduk kemudian engkau menghadap qiblat, lalu engkau bertakbir.”  H.S.R. Muslim.

Dan pandangan mata itu diarahkan ke tempat sujud sebagaimana hadits yang diriwayatkan oleh Baihaqi dan Hakim :
كَانَ صلى الله عليه وسلم إِذَا صَلَّى طَأْطَأَ رَأْسَهُ وَرَمَى بِبَصَرِهِ نَحْوَ الأَرْضِ
‘Semasa solat Nabi saw. biasanya menundukkan kepalanya dan memandang ke tempat sujud.’ Disahkan oleh Hakim.

Wednesday, March 19, 2014

Sifat Solat Nabi: Pembatas/Sutrah (1)

SIFAT SOLAT NABI SAW. 

Pembatas 
Hendaklah di adakan pembatas apabila bersolat di tempat yang lapang. Jika kita bersolat di rumah, janganlah kita bersolat di tengah-tengah rumah tetapi hampirilah dinding atau tiang rumah sebagai pembatas agar tidak dilintasi oleh orang lain, demikian keterangan daripada Saburah bin Ma’bad al Juhani, ia menjelaskan Rasulullah saw. bersabda :



لِيَسْتَتِرَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلاَةِ وَلَوْ بِسَهْمٍ
“Hendaklah salah seorang di antara kalian membuat pembatas dalam solat meskipun hanya dengan anak panah.” 
H.R. Hakim, Thabaranie dan Ahmad. 

 Diriwayatkan pula oleh Abi Daud daripada Abu Said al-Khudri daripada Nabi saw., beliau bersabda : 



إِذَا صَلَّى أَحَدُكُمْ فَلْيُصَلِّ إِلَى سُتْرَةٍ وَلْيَدْنُ مِنْهَا
“Jika salah seorang di antara kalian mengerjakan solat maka hendaklah dia solat menghadap ke pembatas dan mendekat padanya.” 
H.R. Abu Daud. 

Dan apabila solat itu dilakukan dengan berjamaah maka memadai imam sahaja yang ada pembatas, makmum tidak perlu lagi mengadakan pembatas yang lain. Demikianlah pengamalan yang dicontohkan oleh Rasulullah saw. berdasarkan hadits yang sah untuk beramal. Untuk rujukkan yang lebih meluas tentang sutrah, sila kunjungi 
http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2012/03/189-sunnah-meletakkan-sutrah-dan.html










Daftar Isi Bahagian Solat